Ekonomi negara distabilkan semasa PN, bukan oleh pemimpin PH

- Advertisement -

KALI terakhir Malaysia berdepan dengan krisis ekonomi adalah pada tahun 1997 yang disebut sebagai Krisis Mata Wang Asia. Krisis Kewangan Asia ialah krisis kewangan yang bermula pada Julai 1997 di Thailand, dan mempengaruhi mata wang, bursa saham dan harga aset lainnya di beberapa negara Asia. 

- Advertisement -

Ketika itu Malaysia memiliki defisit akaun mata wang melebihi 5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada bulan Julai tahun itu, ringgit Malaysia diserang oleh penyangak mata wang. Malaysia menambat mata wangnya pada 17 Ogos 1997 selepas ringgit jatuh menjunam. Empat hari kemudian Standard and Poor’s menurunkan rating hutang Malaysia. Seminggu kemudian, agensi rating tersebut menurunkan rating Maybank, bank terbesar Malaysia. Pada hari yang sama, Bursa Saham Kuala Lumpur jatuh 856 mata, titik terendahnya semenjak 1993. 

Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berkeupayaan untuk menangani krisis kewangan negara ketika beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada tahun 1997 hingga 1998.

Dato’ Seri Anwar ketika itu lebih berminat untuk mengambil cadangan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa IMF untuk menjalankan Pakej Penjimatan (Austerity Package) dengan mengurangkan belanja kerajaan sehingga 18 peratus dan memberhentikan projek-projek besar.

Perkara itu telah menyebabkan Tun Dr Mahathir memandang bahawa Anwar tidak mampu menangani krisis ekonomi dengan tindakan yang boleh memburukkan keadaan. Beliau telah memindahkan tanggungjawab itu dengan melantik Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), sebuah jawatankuasa think tank yang ditubuhkan khusus untuk menangani masalah kesusutan nilai ringgit dan ekonomi negara waktu itu.

Ia tidak terhenti di situ, Pakatan Harapan (PH) telah mendakwa Malaysia menanggung hutang yang sangat besar hampir mencecah RM1 trilion dan hampir bankrupt. Susulan itu, ketika Pakatan Harapan mengambil alih negara, Menteri Kewangan PH, Lim Guan Eng ketika itu telah mengambil tindakan popular iaitu, dengan mengurangkan bajet Program-program tertentu dalam Belanjawan Negara 2019 ketika diumumkan, penjualan aset-aset negara dianggarkan melebihi RM16 bilion, membuka Tabung Harapan, dan menghentikan projek besar.

Projek itu termasuk pembinaan tiga jambatan di Rambungan, Igan dan Batang Lupar di Sarawak berjumlah RM900 juta yang dibatalkan pada awal 2019 selain infrastruktur lain seperti sekolah dan jalan raya. Malah, PH turut melengahkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Namun begitu, tindakan itu tidaklah berkesan mengurangkan hutang negara sepertimana krisis ekonomi tidak selesai dengan tindakan DSAI yang berlaku tahun 1997-1998. 

Hutang negara pada akhir tahun 2017 adalah sebanyak RM687 bilion dengan peningkatan sebanyak 5.92 peratus berbanding akhir tahun 2016. Setelah Pakatan Harapan memegang tampuk pemerintahan negara dan Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, hutang negara meningkat kepada RM741 bilion pada akhir tahun 2018 dengan kadar peningkatan sebanyak 7.89 peratus.

Setelah kerajaan membuat pinjaman Bon Samurai, hutang negara pada suku kedua tahun 2019 adalah RM799 bilion dengan peningkatan sebanyak 10.19 peratus. Ini bermakna Lim Guan Eng juga tidak mampu memulihkan atau mengurangkan hutang negara dan menghentikan projek besar negara juga telah menyebabkan pelabur-pelabur lari dari melabur ke dalam Malaysia.

Mengingat kembali keruncingan rakyat dan negara menghadapi pandemik COVID-19 bermula April 2019, kita juga berdepan dengan pertukaran tampuk kepimpinan negara yang ketika itu Perdana Menteri Malaysia ke-8 Tun Dr. Mahathir Mohamad daripada Pakatan Harapan telah meletakkan jawatan. Kekuatan suara Penyatuan Ummah telah membuka jalan kerjasama antara parti PAS, Umno dan BERSATU untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah menggantikan PH. Atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, pengganti yang dicalonkan namanya telah dilantik ketika itu adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan pemimpin PERIKATAN NASIONAL (PN) yang disusun beliau.

Keadaan ekonomi dunia pada masa itu telah dipengaruhi oleh pandemik COVID-19 khususnya dalam memasuki akhir dari suku pertama 2020 menjadi fenomena yang merugikan bagi seluruh umat manusia di berbagai negara pada masa itu. Sehingga kini masih lelah mencuba untuk bangkit dan mengubati kegawatan yang berlaku. 

Pertubuhan yang bertaraf Antarabangsa dalam bidang kewangan iaitu Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia telah meramalkan bahawa sehingga akhir suku pertama 2020 ekonomi global telah memasuki kemerosotan yang dirasai di seluruh dunia. Tidak terkecuali Malaysia, terpaksa kuarantin penuh selama 3 bulan pertama COVID-19 melanda, kuarantin berfasa pada suku berikutnya sehingga menyebabkan segala aktiviti pusingan ekonomi tergendala.

Malaysia telah mengalami kesan besar dalam sektor ekonomi termasuk penurunan nilai ringgit Malaysia (MYR) dan penurunan keluaran dalam negara kasar (KDNK) akibat pandemik COVID-19. Paling teruk dalam sejarah setelah kegawatan 1998. Wabak ini turut memberi kesan buruk kepada beberapa sektor utama negara termasuk sektor hiburan, pasar, peruncitan, perhotelan, dan pelancongan. Selain kekurangan barang dan perkhidmatan, banyak bisnes terpaksa menormalisasikan diri dan tempat kerja dengan konsep penjarakan sosial serta perintah berkurung yang mempengaruhi operasi dan pendapatan rakyat termasuk keselamatan pekerja migran yang bekerja di Malaysia. 

Kerajaan yang baru sahaja terlantik dan terbentuk tanpa manifesto ketika itu telah berhadapan dengan masalah gejala wabak terbesar yang tidak pernah dihadapi mana-mana pemimpin negara yang ada kini semenjak merdeka. 

Kerajaan PN ketika itu dengan segera dibentuk dan turut bersegera mengorak langkah mengendali masalah dengan merancang macam-macam program bantuan dengan bajet besar seperti PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PEMERKASA, PENJANA, PEMULIH. 

Tidak sahaja itu, walaupun ketika pandemik berlaku, Kerajaan Kedah yang diterajui Menteri Besarnya telah membawa masuk pelaburan ke Kedah sebanyak RM68.3 bilion.

Oleh itu dakwaan dan persepsi kononnya PH ada tokoh utama yang berwibawa memulihkan ekonomi Malaysia hanyalah hiburan retorik dan khayalan serta manisan halwa telinga buat penyokong PH semata-mata.

Rujukan:

1.    https://harakahdaily.net/index.php/2022/11/16/10-perkara-bukti-kegagalan-anwar-urus-ekonomi/  

2.    https://www.malaysiakini.com/news/530153  

3.    https://harakahdaily.net/index.php/2019/09/27/ph-jual-aset-negara-tapi-hutang-terus-meningkat/ 

4.    https://www.utusan.com.my/nasional/2022/08/banyak-projek-besar-batal-zaman-ph/  

5.    https://www.wikiwand.com/ms/Kesan_pandemik_COVID-19_terhadap_ekonomi_dan_perniagaan 

6.    https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02ainQPPUBNHWkckGJyeyByJg4AXiYRMBKPeTc2ypLihMxBRaWx7izxrrMLr9GAoaBl&id=100001607375200 

7.    http://www.customs.gov.my/ms/ip/Pages/ip_fz.aspx 

8.    https://ms.wikipedia.org/wiki/Kawasan_perdagangan_bebas 

9.    https://ms.wikipedia.org/wiki/Labuan 

QATRUNNADA MOHD LATFI – HARAKAHDAILY 21/11/2022

- Advertisement -