Tasbih, tahmid dan istighfar mengiringi kemenangan PRU15

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T atas kurniaan dan pertolonganNya.

- Advertisement -

Umum sudah mengetahui keputusan kerusi-kerusi Parlimen yang ditandingi oleh PAS dalam gabungan PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Umum ke-15 kali ini.

Di pihak Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS), kami menyokong seruan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) kepada semua agar melaksanakan sujud syukur di atas kemenangan. Pasakkan dalam hati bahawa kemenangan ini adalah anugerah daripada Allah S.W.T.

Apabila Rasulullah S.A.W menerima pertolongan Allah dalam peristiwa Fathu Makkah, Baginda memperbanyakkan tasbih, tahmid dan istighfar sebagai menyahut perintahNya. 

Tasbih menyucikan jiwa pejuang daripada mengingkari kekuasaanNya. 

Tahmid menjauhi sifat ujub dalam kalangan kita dan hanya meletakkan puji dan puja itu selayaknya bagi Allah S.W.T.

Istighfar menyedarkan kita bahawa jalan-jalan kemenangan terbentang di hadapan kita dengan menjauhi dosa dan penderhakaan terhadap Allah S.W.T.

Maka DUPNS juga mengajak semua para pendukung PAS dan PERIKATAN NASIONAL agar memperbanyakkan berzikir memuji Allah S.W.T dan meminta keampunan atas kemenangan ini. Jauhilah sorakan kegembiraan yang keterlaluan, apatah lagi dengan perasaan sombong dan angkuh kerana kemenangan adalah milik Allah. Kita hanya berusaha dan berikhtiar sahaja. 

Inilah yang membezakan perjuangan politik PAS dengan golongan yang berjuang semata-mata kerana matlamat keduniaan.

DUPNS juga ingin merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia umumnya dan para pengundi di Selangor khususnya atas sokongan luar jangkaan terhadap PAS dan PERIKATAN NASIONAL. 

DUPNS menyeru agar semua yang memenangi kerusi masing-masing dapat berkhidmat sepenuhnya kepada rakyat dengan penuh dedikasi dan amanah.

Semoga Allah S.W.T mengurniakan taufik dan inayahNya agar PERIKATAN NASIONAL dapat menjadi contoh pemerintahan yang menjunjung matlamat mencapai negara sejahtera dan keampunan Ilahi sebagaimana digambarkan dalam al-Quran.

“Malaysia Sejahtera”
“Prihatin, Bersih dan Stabil”

USTAZ HAJI NUSHI DATO’ MAHFODZ
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
25 Rabiul Akhir / 20 November 2022 – HARAKAHDAILY 20/11/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!