PN tadbir Perlis ke arah lebih bersih, stabil

- Advertisement -

KANGAR: Pilihan Raya Umum ke-15 mencipta sejarah besar bagi PAS setelah bergabung di bawah PERIKATAN NASIONAL (PN) dengan memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

- Advertisement -

Kemenangan majoriti dua pertiga membuktikan rakyat Perlis menolak secara total Barisan Nasional (BN) yang menguasai negeri itu sejak awal kemerdekaan.

Pengerusi PN negeri, Mohd Shukri Ramli berkata, kemenangan luar jangka itu merupakan amanah besar rakyat kepada gabungan tersebut.

“Kami memanjat syukur kepada Allah dan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat negeri Perlis di atas kepercayaan yang diberi melalui mandat yang diberikan, saya pun masih lagi terpinga-pinga.

“Kepercayaan yang diberikan kepada kami PN adalah satu ujian dan amanah yang amat besar untuk kami menanggungnya setelah diberi kepercayaan,” katanya dalam sidang media di Kompleks PAS Arau hari ini.

Menurut beliau juga PN berazam mentadbir Perlis ke arah yang lebih bersih dan stabil sesuai dengan slogan yang dilaung sepanjang tempoh kempen.

“Terima kasih kepada rakyat negeri Perlis di atas keberanian untuk melakukan perubahan dengan merubah kepada suasana yang lebih baik.

“PN akan berusaha membawa pengurusan perntadbiran ke arah yang lebih bersih dan stabil. (BEST). Manifesto yang ditawarkan akan diperhalusi dan dilaksanakan dengan penuh hikmah,” ujarnya.

PN menawan tiga parlimen dengan majoriti tertinggi iaitu Arau 23,216 undi Padang Besar (12,514 undi) dan Kangar (9,192 undi).

Di Padang Besar, DUN Titi Tinggi yang ditandingi Izizan Ibrahim (PN-Bersatu) mencatat majoriti 3,785 undi, Chuping – Saad Seman (PN-PAS) majoriti 2,420 undi, Santan Ustaz Muhammad Azmir Azizan (PN-PAS – 2,108 undi), Mata Ayer – Wan Badariah Wan Saad (PN-PAS – 2,021 undi) dan Beseri – Haziq Asyraf Dun (PN-PAS – 1,047 undi).

Manakala di Kangar pula, Bintong Ustaz Fakhrul Anwar Ismail (PN-PAS) dengan 4,329 undi.

Di Arau pula penyandang DUN Guar Sanji berjaya mempertahankan kerusinya dengan majoriti 5,101 undi.

Manakala Mohd Shukri juga berjaya mempertahankan kerusi DUN Sanglang dengan majoriti 3,335 undi.

Mohd Shukri juga berkata, pihaknya tidak menafikan kemenangan besar PN di Perlis dipengaruhi aura Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim di samping kebijaksanaan rakyat yang mahu perubahan.

Katanya, pentadbiran kerajaan negeri dijangka akan berjalan dengan lancar. – HARAKAHDAILY 20/11/2022

- Advertisement -