PN akan bincang dengan pemimpin parti Sabah, Sarawak

Bagi pembentukan kerajaan yang menjamin kestabilan sesegera mungkin

- Advertisement -

SHAH ALAM: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berbincang dengan pimpinan parti-parti di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat bagi tujuan pembentukan Kerajaan Persekutuan.

- Advertisement -

Penyataan itu diumumkan beliau pada sidang media khas PN yang dihadiri barisan pimpinan tertinggi koalisi tersebut selepas mesyuarat bersama di Hotel Glenmarie, di sini sebentar tadi.

“Demi menjamin kestabilan (politik dan negara), PERIKATAN NASIONAL juga mengalu-alukan penyertaan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip perjuangan PERIKATAN NASIONAL.

“(Iaitu) untuk membentuk sebuah kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil,” ujar beliau yang menyifatkan PN telah memperolehi kejayaan luar jangka hasil komitmen dan semangat juang tinggi jentera parti.

Selain merakam tahniah kepada tahniah kepada calon yang menang dan penghargaan terima kasih kepada pengundi, beliau turut menyatakan kejayaan itu adalah dari gelombang sokongan rakyat kepada PN terutama pengundi muda.

Beliau yang ditanya berkali-kali mengenai parti dimaksudkan untuk mengadakan kerjasama itu sekadar menjelaskan bahawa perkara tersebut terserah kepada kebijaksanaan pimpinan tertinggi PN memutuskannya.

“Dengan mengambil kira situasi dan keadaan-keadaan tertentu. Apa lagi pandangan yang telahpun disuarakan oleh ramai di kalangan pimpinan tertinggi kita. Jadi kita akan ambil kira semua perkaralah.

“Yang penting kita harap dengan PN mengetuai kerajaan ini, maka kita akan dapat melahirkan suasana politik negara yang stabil. Ini bermakna bahawa kita perlu mengambil kira pihak-pihak tertentu dalam parti-parti yang lain.

“Yang kalau mereka ini sehaluan dan bersedia menerima dasar-dasar yang akan diketuai oleh PERIKATAN NASIONAL kita akan menimbangkan dengan secara teliti dan mendalam,” ujarnya mengakui reaksi parti Sabah dan Sarawak adalah menggalakkan.

Turut diberitahunya adalah penerimaan surat dari Istana Negara, namun tidak mahu menyatakan kandungan titah Yang di-Pertuan Agong tersebut tetapi akan berusaha menyempurnakannya secepat mungkin.

Beliau berharap semua perkara tersebut akan dapat dimuktamadkan sebelum petang esok dan menjawab pertanyaan kemungkinan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), beliau tegas berkata tidak. – HARAKAHDAILY 20/11/2022

- Advertisement -