PM ke-10: Muhyiddin yakin dapat sokongan Ahli Dewan Rakyat

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin beliau mempunyai sokongan yang mencukupi daripada Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Muhyiddin berkata dalam pertemuan dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor hari ini, mereka telah menyatakan sokongan dan kepercayaan Ahli Dewan Rakyat daripada kedua-dua gabungan itu terhadap beliau.

“Beberapa orang Ahli Dewan Rakyat lain juga telah memberikan komitmen yang sama,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Muhyiddin berkata perkara tersebut telah dilaporkan kepada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikannya petang tadi.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti dan menamakan calon perdana menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang, esok.

Sehubungan itu, Istana Negara telah memohon kerjasama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk meminta semua ketua parti dan gabungan parti politik terlibat mengemukakan cadangan gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui dan calon perdana menteri mereka kepada Istana Negara.

PRU15 semalam menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, PN (73), Barisan Nasional (30), GPS (22), GRS (enam), Parti Warisan (tiga) dan masing-masing satu kerusi untuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua calon Bebas yang menang.

Majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan adalah 112 kerusi. – BERNAMA

- Advertisement -