PAS-PN pecah kubu tradisi Umno di Kepala Batas

Wan Saiful, Siti Mastura dan Ustaz Fawwaz.
- Advertisement -

GEORGETOWN: Perikatan Nasional (PN) mencatatkan kemenangan tiga kerusi Parlimen di Pulau Pinang bagi Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) yang berakhir malam tadi.

- Advertisement -

Dua daripadanya parti PAS dan Bersatu satu.

Calon Dr Ustazah Siti Mastura Muhammad (PAS-PN) Parlimen Kepala Batas menewaskan Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican (BN) memperoleh 28,604 undi dengan majoriti 2,867 undi.

Reezal Merican yang gagal mempertahankan kerusi dimenanginya dua penggal berturut-turut mendapat 25,737 undi.

Rakan seperjuangannya calon Ustaz Muhammad Fawwaz Mat Jan (PAS-PN) Parlimen Permatang Pauh mendapat 37,638 undi dengan majoriti 5,272 undi sekali gus menewaskan penyandangnya Nurul Izzah Anwar (PH) yang memperoleh 32,366 undi.

Calon Datuk Wan Saiful Wan Jan (Bersatu-PN) Parlimen Tasek Gelugor menang selesa 31,116 undi dengan majoriti 12,252 undi. Pesaingnya Razak Ridzuan (PH) ketinggalan jauh dengan undian 16,547.

Dengan kejayaan dua calon PAS di kerusi yang disasarkan untuk menang, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff merakamkan rasa syukur.

Pertama kali menjadi calon pilihan raya, Steven Koh (DHPP-PAS) cipta rekod mendahului BN walaupun tewas di tangan penyandang Steven Sim (DAP) di Parlimen Bukit Mertajam antara kubu kuat DAP.

“Alhamdulillah, kita dapat tawan dua kerusi ini. Kerusi Permatang Pauh ini kita dapat tawan kembali selepas kita kehilangannya selama 44 tahun.

“Dulu 1974 kerusi ini disandang almarhum Tuan Guru Haji Zabidi Ali, sebelum itu dimenangi BN antaranya Anwar Ibrahim yang ketika itu BN dan kemudian jatuh ke anaknya Nurul Izzah PKR.

“Kemenangan Siti Mastura di Kepala Batas pula satu rekod baharu kerana Parlimen ini merupakan kubu kuat BN sejak di zaman Pak Lah Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ustaz Muhammad Fauzi.

“Jadi kita dapat merampas daripada bekas menteri, Reezal Merican. Ini pun satu kemenangan luar jangkaan,” kata Ustaz Muhammad Fauzi.

Menurutnya, situasi di Kepala Batas menampakkan angin perubahan sepanjang berkempen apabila menyedari kebangkitan gelombang rakyat untuk memilih Perikatan Nasional dan memberi peluang kepada Siti Mastura.

Katanya berita menggembirakan kepada PAS adalah Steven Koh daripada Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) membuktikan pengaruh Perikatan Nasional turut sedang meresap ke kubu kuat DAP.

“Alhamdulillah, kita tidak hilang deposit atas jumlah undi Steven Koh sebanyak 14,037. Satu pencapaian yang agak membanggakan kepada PAS,” kata Muhammad Fauzi. – HARAKAHDAILY 20/11/2022

- Advertisement -