Candu Anwar, bukan ‘kaleng-kaleng’

RAUT wajah Anwar Ibrahim kusam dan serabut apabila ditanya wartawan gabungan parti manakah yang Anwar dakwa ada majoriti itu? Suaranya juga agak tinggi, dengan membulatkan mata, sedikit menjegil kepada wartawan sewaktu menjawab. Penyokongnya juga bersuara sengau-sengau basah menyambut pengumumannya, mahu percaya atau tidak. Penat, mungkin.

Advertisement

Berbeza wajah dan reaksi Anwar sewaktu kempen terakhir, di mana dia dengan berani dan yakinnya mengumumkan Ketua Polis Negara telah menghubunginya untuk bersiap sedia mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri (PM) kerana laporan Special Branches (SB) akui Anwar akan menang. Ceria, gembira dan disambut laungan, sorakan kejayaan oleh penyokongnya. Serak-serak basah, persis penyanyi rock kapak dahulu.

Sampai ke akhir kempen, dia selamba menipu pendukungnya. Penyokongnya pula, menerima sahaja menadah telinga dan terus teruja mendengar pembohongan berulang kali itu. Mereka seakan ketagih mendengar Anwar berkata-kata demikian dan menerimanya seperti satu nikmat.

Anwar tidak pernah rasa kecewa dengan kekalahan kerana dia tahu, dia akan kalah. Sesama politikus, semua sudah mengetahui siapa beliau. Tetapi yang merasa teramat kecewa ialah penyokongnya yang begitu mengharapkan Anwar akan diangkat menjadi PM. Mereka tidak mahu lagi Anwar disindir sebagaimana dahulu, ‘PM Tepi’. Mereka malu, tidak rela ketuanya diperli sebegitu. Oleh itu, mereka terus mencuba lagi dan lagi.

Anwar pula, jika melihat sokongan peminatnya semakin melemah, dia akan menyuntik kembali semangat dengan menceritakan lagi pembohongan atau mereka sudah dekat benar dengan garisan penamat, iaitu pintu masuk Putrajaya. Maka bangunlah pentaksubnya, memukul punggung rakan masing-masing, mengajak meneruskan perjalanan, laksana pengembala merotan punggung ternakan mereka, menuju ke satu arah.

Masih menaruh harapan, walau sudah ditipu berulang-ulang kali semenjak 1998 lagi. Harapan mereka sungguh tinggi. Katalah apa sahaja, mereka sanggup berkorban untuk Anwar, walaupun pernah satu ketika DAP juga sudah bosan dengan Anwar berkaitan tindakannya. Malah, berapa ramai sudah pimpinan PKR yang telah berpatah arang dengan Anwar.

Begitulah… teringat aku kepada satu ungkapan tokoh Komunis bahawa agama itu candu masyarakat, ditujukan kepada agamawan yang berusaha membentuk rakyat kepada lebih baik. Kini ungkapan itu, mungkin sesuai ditujukan kepada pengikut Anwar. ‘Pembohongan Anwar candu penyokong PH’. Nikmatilah candu itu, khayallah kamu di dalam retoriknya.

“I have numbers…”

MOHD NASIR ABDULLAH
20 November 2022 – HARAKAHDAILY 20/11/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.