KOTA BHARU: Sejarah Pilihan Raya Umum (PRU) Oktober 1990 kini berulang semula ke Kelantan apabila berjaya menguasai 14 kerusi Parlimen pada PRU Ke-15 yang berlangsung hari ini.
Rekod baharu juga dicatat apabila kubu kuat Umno di Gua Musang akhir roboh apabila dimenangi calon PERIKATAN NASIONAL biarpun dengan majoriti tipis.
Calon PN Mohd Azizi Abu Naim yang mewakili Bersatu mencatat sejarah apabila tokoh politik terkenal Umno yang tidak pernah tewas Tengku Razaleigh Hamzah akhirnya tumbang di tangan anak muda.
Mohd Azizi mengatasi Ku Li dengan majoriti 163 undi, biarpun tokoh Umno terbabit pernah dikenali sebagai ‘Raja Kita’ di Gua Musang.
Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, berdasar maklumat terkini PN menguasai Gua Musang, suatu pencapaian luar biasa.

Malah pada PRU kali ini juga kesemua calon PN mencatat jumlah undi yang berlipat kali ganda berbanding keputusan PRU14.
Dato’ Ahmad Marzuk mencatat jumlah majoriti berlipat kali ganda apabila memperolehi majoriti lebih 37,000 undi. Kedua tertinggi majoriti diraih Dato’ Ikmal Hisham Abdul Aziz apabila memperolehi 36,743 undi.
Begitu juga kubu Umno di Ketereh juga roboh apabila berjaya ditawan semula PN melalui Mejar Jeneral (B) Dato’ Khlir Mohd Nor dengan majoriti lebih 23,000 undi.
Pada PRU Oktober 1990, PAS melalui Angkatan Perpaduan Ummah menang di kesemua kerusi parlimen dan DUN di Kelantan. – HARAKAHDAILY 19/11/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!