Pengundi muda paling awal sampai di pusat pengundian

- Advertisement -

PASIR MAS: Kesedaran pengundi muda melaksanakan tanggungjawab dilihat begitu menggalakkan apabila ramai dalam kalangan mereka berada di pusat pengundian ketika awal pagi.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Malaysia Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, ketika beliau sampai di pusat pengundian di Kolej Vokasional Bunut Susu sudah ramai pengundi muda yang hadir.

“Kita berbangga dengan kesedaran anak muda datang awal ke pusat pengundian terutamanya yang pulang dari luar Kelantan.

“Walaupun terpaksa menempuh perjalanan selama 20 jam mereka tetap pulang menunaikan hak memilih pemimpin.

“Sehingga jam 11 pagi tadi saya dimaklumkan pengundi muda menguasai saluran tempat pengundian tanpa putus sejak ia dibuka mulai jam 8 pagi,” katanya ketika ditemui di pusat pengundian tersebut.

Beliau turut ditemani isteri Nor Yani Mohd Salleh.

Sehubungan itu Ahmad Fadhli yang juga calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Parlimen Pasir Mas merakam ucapan syabas kepada anak-anak muda yang faham kepentingan mencorak landskap politik Malaysia.

Manakala anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berharap rakyat Malaysia keluar beramai-ramai melaksanakan tanggungjawab memilih pemimpin yang baik.

“Pengundi yang berdaftar hendaklah keluar mengundi segera dalam tempoh berbaki untuk memberi mandat kepada pemimpin yang bersih dan terbaik untuk Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Meranti.

Beliau hadir berkerusi roda tiba pada jam 9.20 pagi ditemani isteri Datin Wan Norhanita Wan Yaacob bersama anak-anak.

Sementara itu Pegawai Pengurus Pilihanraya P022 Parlimen Pasir Mas Hazmi Abdul Hamid berpuas hati dengan kerjasama pengundi yang datang tepat pada masa.

“Bilangan saluran pengundian di Parlimen Pasir Mas sebanyak 168 termasuk undi awal. Dan di Kolej Vokasional terdapat ada empat saluran,” katanya ketika ditemui di Pusat Operasi dan Penjumlahan Undi Parlimen Pasir Mas di Kolej Vokasional. – HARAKAHDAILY 19/11/2022

- Advertisement -