Penduduk Kampung Tersang redah banjir untuk mengundi

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Hampir keseluruhan penduduk Kampung Tersang yang terbabit dengan air banjir termenung keluar mengundi hari ini.

- Advertisement -

Tinjauan Harakahdaily di Kampung Tersang mendapati paras air banjir masih tinggi. Bagaimanapun, penduduk tetap bersemangat keluar mengundi sejak awal pagi dengan meredah air banjir.

Malah ada penduduk yang terpaksa menaiki perahu memandangkan paras air banjir masih lagi tinggi.

Seorang penduduk, Nik Sulaiman Yaakub, 59, berkata beliau tetap menjalankan tanggungjawab untuk mengundi walaupun rumahnya masih lagi digenangi air banjir.

Katanya, banjir yang berlaku baru-baru ini hampir menengelamkan kediamannya kerana air naik setinggi dua meter dan sekarang turun ke paras 0.7 meter.

Penduduk Kampung Tersang menunjukkan tanda sudah mengundi

“Kebanyakan rumah di kampung ini dimasuki air dan sehari sebelum hari mengundi. Kami pulang ke kediaman walaupun masih ada air banjir.

“Kami menggunakan perahu untuk melakukan aktiviti harian,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Gual Periok, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Khatijah Mamat, 72, berkata biar pun masih penat kerana baru sahaja menghadapi banjir, namun tetap mahu keluar mengundi.

Semalam, katanya dia sekeluarga pulang ke rumah selepas hampir seminggu berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Namun demi memikirkan tanggungjawab, saya tetap gagahkan diri untuk keluar mengundi dengan menaiki perahu,” katanya.

Difahamkan seramai 57 keluarga di Kampung Tersang terjejas dengan banjir yang berlaku pada awal November lepas. – HARAKAHDAILY 19/11/2022

- Advertisement -