Kalis hujan: Warga Ampang turun undi awal pagi

Foto hiasan.
- Advertisement -

BUKIT INDAH, Ampang: Hujan lebat dengan angin yang menderu pada Subuh hari ini tidak menghalang warga Ampang untuk keluar mengundi pada awal pagi.

- Advertisement -

Tinjauan HarakahDaily di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Indah (SKTBI), Ampang, Selangor mendapati pengundi sudah datang beratur sejak jam 7 pagi lagi – sesetenganya sambil berpayung.

Seorang pengundi sedang membuang undi di SKTBI, Ampang Selangor.

Hujan yang sepenuhnya reda menjelang jam 8 pagi kemudian menambahkan lagi bilangan pengundi yang hadir di situ.

Suasana di bahagian dalam SKTBI kelihatan agak sistematik dengan pengundi  beratur panjang masing-masing melalui lapan saluran yang telah ditetapkan.

Turut kelihatan ialah pengundi yang datang membuang undi dalam kalangan warga emas termasuk yang berkerusi roda, serta golongan remaja dari bangsa Melayu, Cina dan India.

Pusat mengundi di SKTBI, Ampang Selangor turut dihadiri beberapa pengundi warga emas yang tidak ketinggalan turun membuang undi di sini.

Sementara itu, di Ukay Perdana dan Lembah Keramat dan Dewan Orang Ramai Taman Dato Ahmad Razali pengundi beratur sepanjang 1 kilometer (km) seawal jam 7 pagi.

Dalam pada itu, Penyelia Pusat Mengundi di Dewan Dato Ahmad Razali, Ali Md Isa, berkata, lebih 7,200 pengundi akan mengundi di pusat pengundian itu yang menyediakan enam saluran.

Menurutnya, setakat jam 8 pagi tadi, kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi telah selesai membuang undi. 

Pengundi muda berbilang kaum beratur dalam barisan untuk membuang undi di SKTBI, Ampang, Selangor.

Kerusi Parlimen Ampang pada PRU15 kali ini menyaksikan calon PERIKATAN NASIONAL, Sasha Lyna Abdul Latif dalam persaingan sengit sembilan penjuru dengan lapan calon lain termasuk penyandang sejak 2008, Datuk Zuraida Kamaruddin yang kini bertanding atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Tiga calon lain ialah Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen mewakili Barisan Nasional (BN), Rodziah Ismail (Pakatan Harapan), dan Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang).

Pengundi di Bukit Indah, Ampang begitu bersemangat turun mengundi sejak awal pagi tanpa menghiraukan hujan yang melanda.

Turut bertanding, Lai Wai Chong (Warisan) dan tiga calon Bebas terdiri daripada Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, M Raveedran dan Tan Hua Meng.

Pada PRU14, Zuraida yang ketika itu bertanding atas tiket PKR menang dengan undi majoriti 54,307 mengalahkan calon BN, Leong Kim Soon (12,351 undi) dan calon Pas, Nurul Islam Mohamed Yusoff (9,598); sementara Tan Hua Meng daripada Parti Rakyat Malaysia hanya memperoleh 294 undi sekali gus hilang deposit. – HARAKAHDAILY 19/11/2022

- Advertisement -