Undi anda sangat bernilai, berikan ke tempat yang betul

- Advertisement -

HANYA satu undi dapat menukar dan mengeluarkan sebuah kerajaan dari dikuasai pemimpin yang korupsi dan diktator kepada sebuah kerajaan yang bersih, stabil dan berintegriti.

- Advertisement -

Telah terbukti di Indonesia, Filipina dan mana-mana negara yang beramal dengan sistem demokrasi rakyatnya telah menukar kepimpinannya yang korupsi kepada pemimpin yang lebih baik melalui kertas undi.

Kerana itu undi anda sangat bernilai, ia adalah kuasa untuk membentuk dan membersihkan sebuah negara atau negeri yang telah bergelumang dengan kekotoran korupsi kepada yang lebih baik. Satu undi anda sangat bernilai kerana ia juga penentu masa depan sebuah negeri dan generasi akan datang.

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

“Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, lantas tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk kebaikan mereka dan tidak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka.”

 (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu saya menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Pahang untuk kita nyatakan kecintaan kita kepada bumi bertuah ini dengan dengan kita memilih pemimpin yang sentiasa bersungguh dan jujur terhadap rakyatnya, bukan pemimpin yang hanya menjaga kepentingan diri dan pengampu mereka semata-mata.

Pilihlah pemimpin yang bersih dari sebarang kes rasuah, jenayah dan salah guna harta benda negara untuk kepentingan diri sendiri. Pilihlah pemimpin yang mampu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, stabil dan berintegriti.

Rasuah adalah jenayah yang akan meruntuhkan negara, rasuah menjadikan rakyat miskin tertindas, rasuah merosakkan sistem tadbir urus negara, rasuah akan menjadikan kekayaan negara hanyalah dimonopoli oleh orang yang berkuasa dan mereka yang hampir dengan mereka sahaja. Rasuah seperti anai-anai yang akan meruntuhkan negara.

Telah terbukti tiada pimpinan PERIKATAN NASIONAL yang pernah terpalit dengan sebarang kes rasuah dan jenayah yang melibatkan kewangan negara. Berikan undi anda yang sangat berharga itu kepada yang betul, yang dapat menyelamatkan negara, menyelamatkan rakyat Malaysia.

Hargailah nilai undi anda, undilah PERIKATAN NASIONAL untuk pembentukan sebuah kerajaan stabil, bersih dan berintegriti. 

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Pahang
Pesuruhjaya PAS Pahang – HARAKAHDAILY 18/11/2022

- Advertisement -