Sokongan PERIKATAN NASIONAL ‘trend’ menaik

Kepulangan perantau di seluruh negara semakin meningkat
- Advertisement -

MACHANG: Biarpun kajian badan tertentu yang dekat dengan Pakatan Harapan (PH) cuba menggambarkan pakatan itu mendahului berbanding parti lain, namun situasi yang berlaku di bawah berbeza.

- Advertisement -

Fenomena PERIKATAN NASIONAL lebih terserlah, lebih-lebih lagi kepulangan perantau bersama bendera PERIKATAN NASIONAL dan PAS berlaku di seluruh negara.

Situasi itu dapat dilihat di media sosial dengan gelombang PERIKATAN NASIONAL lebih menyerlah berbanding PH dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, berdasarkan risikan bahagian keselamatan menggambarkan PERIKATAN NASIONAL berlaku lonjakan.

Katanya, berdasar laporan itu terdapat trend sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL terus menaik menjelang hari-hari terakhir kempen.

“Saya dimaklumkan kedudukan PERIKATAN NASIONAL menunjukkan trend ke arah menaik. Sekiranya ia benar-benar menjadi realiti akan berlaku perubahan politik di negara kita,” katanya ketika berucap pada ceramah Grand Final PRU15 di Dataran Kemahkotaan, malam tadi.

Ikmal yang juga calon PERIKATAN NASIONAL Tanah Merah menyifatkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub, tidak memanfaatkan peluang sebagai Ahli Parlimen bagi membawa perubahan di Machang.

Katanya, biarpun pemimpin terbabit sudah dua penggal menang di Parlimen Machang, pembangunan di bawah peruntukan Kerajaan Pusat tidak banyak.

“Sedangkan sebelum ini, pemimpin terbabit juga pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar. Di Tanah Merah, saya membawa projek laluan bertingkat yang boleh dilihat sekarang.

“Projek itu bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di bandar Tanah Merah. Selain itu terdapat Institut Kemahiran Belia Negara yang memberi manfaat kepada anak-anak muda tempatan,” katanya.

Sedangkan katanya Ahmad Jazlan dan dirinya sama-sama dua penggal menang sebagai Ahli Parlimen, namun perubahan pembangunan di Tanah Merah lebih ketara berbanding Machang.

Oleh itu, beliau mengajak pengundi di Machang memberi peluang kepada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagi membawa perubahan di Parlimen Machang pada PRU15. – HARAKAHDAILY 18/11/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!