Penyelesaian ekonomi gabungan politik mana lebih meyakinkan?

- Advertisement -

GABUNGAN politik PERIKATAN NASIONAL (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah menawarkan diri untuk bersaing dan bertanding dalam PRU15 ini. 

- Advertisement -

Dengan hasrat ingin menambah baik negara, termasuk terus membangun ekonomi terutama yang bersasar untuk anak muda dan rakyat Malaysia umumnya, dengan pelbagai tawaran. 

Namun sejauh mana mereka berkebolehan dalam hal paling runcing yang sedang Malaysia hadapi ini? Inilah yang menjadi persoalan rakyat untuk memilih.

PERIKATAN NASIONAL (PN)

Menawarkan 10 tawaran untuk pembangunan ekonomi belia negara. Pertama, ingin menjana satu juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam sektor ekonomi digital dan masa hadapan dalam tempoh 5 tahun dengan mengutamakan industri berteknologi tinggi. 

Sepanjang pemerintahan PN telah lalu, pada suku pertama 2020, sebanyak 49,372 jawatan kosong telah diiklankan. Manakala, pada suku pertama 2021 jawatan kosong yang diiklankan telah bertambah kepada 90,218 (82.7 peratus) dan melonjak naik kepada 159,148 (76.4 peratus) pada suku pertama 2022. 

Jumlah peluang itu dijangka dapat ditambah lagi sehingga tercapai target dengan meneruskan segala perancangan yang telah dirancang sebelum ini sekiranya PN memerintah lagi.

Kedua, PN ingin elaun minimum RM1,000 diberikan kepada belia dan penambahan peluang latihan industri dalam syarikat berkaitan kerajaan. Ketiga, menaikkan kadar elaun pelajar yang menjalani latihan amali atau praktikal di sektor awam kepada RM1,200 sebulan. 

Keempat, PN turut menekankan untuk memberi insentif khas bernilai RM1,000 kepada pekerja sektor ekonomi gig yang layak untuk mengikuti kursus terpilih di institusi pengajian tinggi yang diiktiraf. Kelima, mengurangkan harga siling bayaran lesen memandu motosikal bawah 250cc. 

Keenam, memperkenalkan program pembiayaan perumahan tanpa faedah khusus bagi keluarga muda. Ketujuh, membangunkan tanah terbiar untuk belia di kawasan strategik bagi aktiviti pertanian moden dan vertical farming serta penternakan. 

Menariknya, galakan terhadap golongan belia menceburi industri pertanian dan penternakan ini merupakan serampang dua mata dalam menangani krisis sekuriti makanan negara. 

Sektor ini perlu dibangunkan agar berlaku anjakan popularitinya dan menaikkan ketertarikannya dalam kalangan belia dan bukan sahaja kalangan warga emas, bukan sahaja orang kampung bahkan orang bandar dan terpelajar juga tersuntik untuk menongkah arus industri ini.

Kelapan, mewajibkan syarikat P-Hailing dan E-Hailing menyediakan perlindungan insurans takaful kepada semua pekerja. Kesembilan, potongan cukai khas bagi pekerja sektor ekonomi gig sepenuh masa yang berdaftar. 

Kesepuluh, PN ingin merancakkan Pelancongan Bernilai Tinggi Dan Bertaraf Dunia dengan menyediakan RM1 bilion dana khas pelancongan. Ini bagi mewujudkan produk baharu pelancongan domestik yang bernilai tinggi dengan penglibatan pengusaha Perusahaan Mikro Kecil, Sederhana (PMKS) yang sebahagiannya juga terdiri daripada golongan belia. 

Juga merancakkan semula sektor pelancongan domestik dengan menyediakan insentif bagi menggalakkan aktiviti pelancongan dalam negara. Selain merancakkan sektor ekopelancongan, agropelancongan dan pelancongan kesihatan dengan kerjasama pemain industri, termasuk syarikat penerbangan dan operator hotel. 

Pengecualian cukai terhadap rakyat Malaysia yang melancong bersama keluarga juga telah dilaksanakan dalam Bajet 2022 yang lalu bagi menggalakkan industri itu untuk bangkit. 

Pakatan Harapan (PH)

Dalam manifestonya tidak menyatakan sasaran dari segi jumlah pekerjaan secara khusus, namun lebih kepada kaedah untuk melaksanakan pengembangan pekerjaan sedia ada dalam sektor-sektor yang ingin diberi penekanan. 

PH ingin membuka peluang keterlibatan ekonomi untuk belia dengan penyertaan belia yang diharapkan dapat memberikan kesan berlipat ganda dan menjana pertumbuhan. 

PH telah membawa enam tawaran untuk membangunkan ekonomi anak muda juga rakyat Malaysia umumnya. Pertama, ingin memperkenalkan Biasiswa Perintis dan peluang menambah golongan belia yang berminat menceburi bidang ekonomi baharu. 

Ia meliputi bidang seperti industri penjagaan bagi  kanak-kanak, warga emas dan OKU, turut menyentuh sektor pertanian moden dan sektor hijau walaupun secara umum. 

Kedua, untuk pekerja buruh kasar dan ekonomi gig PH turut memberi perhatiannya sama seperti PN dengan sistem perkembangan kerjaya yang akan diperkenalkan. 

Syarikat penyedia ekonomi gig diberikan insentif khas sekiranya membangunkan kemahiran dan kerjaya pekerja ekonomi gig sekadar pilihan manakala lepasan SPM dan ke bawah diberi galakan untuk menceburi pengajian dalam bidang TVET. 

Ketiga, membuka akaun ‘Latihan Kemahiran’ untuk pekerja belia yang berusia 18 hingga 30 tahun di bawah HRD Corp dengan RM500 yang boleh digunakan untuk latihan sepanjang umur. Persoalannya, latihan dengan HRD Corp sahajakah yang mendapat insentif? Kenapa dengan HRD Corp? Apakah ada kaitan dengan PH? Adakah projek ini akan dirunding secara terus?

Keempat, memprofesionalkan sektor penjagaan supaya ia diberi tahap dan darjat penghormatan yang tidak kurang daripada sektor-sektor kesihatan berkepakaran yang lain seperti kejururawatan, fisioterapi. 

Pembinaan kapasiti dan latihan untuk mencapai Nisbah Sokongan Penjaga (Caregiver/Support Ratio-CgSR) yang setimpal dengan negara tua menjelang 2035. Tawaran ini agak menarik yang tidak ditawarkan oleh parti lain. 

Kelima, menyediakan lebih banyak insentif eksport untuk menggalakkan perdagangan antarabangsa, seperti insentif cukai untuk potongan tiga kali ganda ke atas perbelanjaan yang berkaitan dengan perjalanan perniagaan untuk menggalakkan eksport.

Ia akan dilaksanakan dengan menyediakan geran dan insentif untuk pengiklanan dalam talian atau kempen pemasaran syarikat tempatan untuk meningkatkan jualan mereka di luar negara. 

Keenam, PH menawarkan untuk Mewarta Zon Perdagangan Bebas di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), POIC Lahad Datu dan Sandakan serta Taman Perindustrian Minyak & Gas Sipitang (SOGIP) bagi menarik pelaburan di wilayah Sabah.

Barisan Nasional (BN)

Sebagai parti tertua dan yang paling berpengalaman dalam mentadbir negara tidak terkecuali dalam merancang dan menawarkan skim bagi membangunkan dan memulih ekonomi negara. 

BN juga tidak menjumlahkan target peluang pekerjaan seperti PN, tetapi secara umum ingin menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan mengekalkan kadar pengangguran di bawah 4 peratus iaitu tahap guna tenaga penuh. 

BN juga menawarkan untuk menubuhkan National Placement Centre dan Pusat Satelit MyFutureJobs bagi membantu proses padanan penyenaraian dan peluang pekerjaan yang akan beroperasi di UTC. Persoalannya, adakah ia sama seperti Jobstreet atau bagaimana? Perlukah lagi?

Seterusnya dalam merencana pembangunan ekonomi belia terutamanya BN menawarkan empat tawaran. Pertama, ingin menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai gergasi ekonomi negara yang baru. 

Kedua, melaksanakan dasar satu keluarga satu graduan atau pekerja mahir dengan suntikan dana oleh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri serta pelbagai Yayasan Pelajaran. 

Kedua, memperkenalkan Program Perantisan Nasional kepada pelatih kemahiran yang digerakkan oleh pihak industri (70 peratus industri: 30 peratus teori atau pembelajaran dalam kelas). 

Ketiga, menghapuskan eksploitasi dengan mewajibkan bayaran elaun kepada mereka yang melakukan latihan amali (paid internship). Tawaran ini juga ditawarkan oleh PN cuma perbezaannya tidak dinyatakan amaun yang mesti diberikan.

Keempat, mengembalikan perkhidmatan feri Malaysia yang menghubungkan Semenanjung dan Sabah Sarawak. Kelima, menaiktaraf Amanah Ikhtiar Malaysia dan mewujudkan Bank Pembangunan Ekonomi Wanita. 

Keenam, menubuhkan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Wanita. Tidakkah ia terlalu bombastik? Ketujuh, menjadikan FELDA sebagai konglomerat nasional utama industri agro-makanan.

Dalam sektor keusahawan, BN menawarkan untuk merancakkan keusahawanan belia dengan menubuhkan ‘Dana Keusahawanan Belia’ yang akan dibiayai melalui sumbangan usahawan-usahawan yang telah berjaya serta suntikan dana RM300 juta daripada kerajaan.

Negara boleh maju seperti yang semua rakyat impikan, namun kemajuan dan kekayaan negara mestilah dipegang oleh satu sistem dan pemimpin amanah memegang tanggungjawab. Ini adalah untuk memastikan keberjayaan hasil negara diperoleh dan diturunkan sehingga sampai kepada rakyat paling bawah. 

Selain itu, perancangan membentuk acuan masa depan negara mestilah realistik mengikut keperluan semasa dan bukan semata-mata bombastik, namun sukar dilaksanakan seperti manifesto BN. 

Realistik, jelas, dan akauntabiliti iaitu boleh diukur dan dikira boleh membuatkan kita menyusun langkah pelaksanaannya. Manifesto yang terlalu umum pula lebih bersifat idea, keinginan, kehendak kepada sesuatu, akan tetapi juga sukar untuk dilaksanakan.

Tambahan pula sudah menentukan syarikat kerjasama sebelum menjadi kerajaan memberi gambaran penanda tidak profesional dan tidak berintegriti bagi sesuatu parti.

Biarpun sederhana, namun boleh menarik pelabur-pelabur dan menjaga serta mengawal kitaran ekonomi negara merupakan ciri-ciri yang boleh membawa keamanan dan keselamatan. Serta kelegaan rakyat dalam menentukan tangan yang bakal diletakkan sebagai pemegang dan peneraju Malaysia. 

QUTRUNNADA MOHD LATFI – HARAKAHDAILY 18/11/2022

Rujukan:

1.    https://www.bharian.com.my/kolumnis/2019/09/604708/tarik-minat-anak-muda-majukan-luar-bandar 

2.    https://www.wikiwand.com/ms/Kesan_pandemik_COVID-19_terhadap_ekonomi_dan_perniagaan 

3.    https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02ainQPPUBNHWkckGJyeyByJg4AXiYRMBKPeTc2ypLihMxBRaWx7izxrrMLr9GAoaBl&id=100001607375200 

4.    http://www.customs.gov.my/ms/ip/Pages/ip_fz.aspx 

5.    https://ms.wikipedia.org/wiki/Kawasan_perdagangan_bebas 

6.    https://ms.wikipedia.org/wiki/Labuan 

7.    http://www.customs.gov.my/en/pg/Pages/pg_pbc.aspx 

8.    https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/10/1008803/malaysia-terima-manfaat-daripada-perjanjian-dagangan 

- Advertisement -