Pengundi disaran keluar mengundi sebelah pagi

- Advertisement -

MACHANG: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berharap orang ramai keluar mengundi pada sebelah pagi esok memandangkan ramalan berlaku hujan dan ribut petir di beberapa negeri pada sebelah petang.

- Advertisement -

Katanya, pengundi digalakkan keluar menunaikan tanggungjawab mengundi bermula awal pagi kerana dibimbangi berlaku hujan dan ribut pada petang.

“Ini kerana keadaan cuaca di belah petang sering berlaku hujan dan ribut. Jadi untuk mengelak berlaku sebarang kelewatan, lebih baik kita keluar mengundi sebelah pagi,” katanya kepada pemberita pada ceramah Grand Final PRU15 di Dataran Kemahkotaan, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari; Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri, Zulkifli Mamat; calon PERIKATAN NASIONAL Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal dan calon PERIKATAN NASIONAL Tanah Merah, Dato’ Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Ribuan penduduk tempatan hadir pada program yang bermula pada sebelah petang dengan himpunan Alternatif Riding Club (ARC).

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negeri di Pantai Timur akan mengalami hujan lebat dan keadaan lembap sepanjang hari esok.

Ceramah Grand Final PRU15 di Dataran Kemahkotaan yang mendapat sambutan hebat

MetMalaysia turut menjangka penumpuan angin di kawasan pantai Kelantan dan Terengganu, serta utara dan tengah Sarawak dijangka berlaku dalam tempoh 18 hingga 19 November ini.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, cuaca yang tidak menentu dibimbangi boleh menyebabkan peratusan keluar mengundi rendah.

“Oleh itu, orang ramai perlu mengambil kesempatan keluar mengundi sekurang-kurangnya mencapai sasaran lebih 70 peratus jumlah keluar mengundi,” ujarnya.

Sementara itu, beliau yang juga calon PAS PERIKATAN NASIONAL Parlimen Kubang Kerian berkata, ketika ini ‘mood’ sokongan rakyat terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN) dilihat sangat tinggi.

Malah katanya, sokongan turut melibatkan dalam kalangan anak muda yang mahukan perubahan dan kerajaan yang stabil serta bersih. – HARAKAHDAILY 18/11/2022

- Advertisement -