K-KOMM bantu calon BN di Ketereh – calon PN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Calon PERIKATAN NASIONAL Parlimen Ketereh berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) berkempen membantu calon Barisan Nasional (BN) di Ketereh.

- Advertisement -

Mejar Jeneral (B) Dato’ Khlir Mohd Nor berkata, kementerian berkenaan kelihatan ‘all out’ melaksanakan program membabitkan jentera kerajaan.

“Jentera saya hanyalah rakyat yang prihatin mahukan perubahan. Saya bukan menteri, saya bukan pengerusi GLC untuk saya gunakan mereka dalam siri-siri kempen saya.

“Budaya seperti ini patut dielakkan. Biarlah kita bertembung dalam pilihan raya di gelanggang yang sama rata,” katanya pada catatan di laman sosialnya, hari ini.

Pada PRU kali ini, Menteri K-KOMM, Tan Sri Annuar Musa yang juga ketua Ketua Umno bahagian Ketereh tidak dicalonkan dan diganti oleh Ketua Puteri Umno Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin.

Kerusi Parlimen Ketereh menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Khlir mewakili PERIKATAN NASIONAL, Marzuani (BN), Hanif Ibrahim (Putra) dan Rahimi L Muhamad (PH).

Bagaimanapun, Khlir bersyukur kerana dihadirkan oleh Allah SWT dibantu petugas yang ikhlas menginfakkan kudrat dan tenaga.

Menurutnya, mereka membantu dan menyusun kempennya menemui rakyat.

“Anak muda yang bertenaga, penjawat awam yang menyembunyikan jawatan mereka tetapi menzahirkan gerak kerja, team media yang menyumbang kepakaran.

“Atas kesedaran itu saya sangat-sangat bersyukur. Biarlah aktiviti kita tahap kampung, sembang kita di kedai kopi namun mentaliti kita untuk merubah Malaysia supaya bersih dan stabil,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/11/2022