Fail saman terhadap Rafizi Ramli

- Advertisement -

PADA jam 4:00 petang semalam (17 November 2022), peguam saya Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid telah memfailkan satu Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan berkenaan saman fitnah saya terhadap Mohd Rafizi bin Ramli, Timbalan Presiden, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

- Advertisement -

Seperti yang umum ketahui, saya telah menghantar Notis Tuntutan bertarikh 10 November 2022 kepada Mohd Rafizi Ramli atas kenyataan beliau yang sangat tidak bertanggungjawab dan memfitnah saya.

Saya memberikan masa 7 hari untuk beliau memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut. Namun begitu, Mohd Rafizi Ramli tidak memberikan apa-apa respon bertulis kepada peguam saya, namun mengambil tindakan terus-terusan memfitnah saya dengan kenyataan demi kenyataan yang tidak berpaksi kepada kebenaran.

Rakyat sudah tentu ingat bagaimana arwah Tan Sri Khalid Ibrahim dijatuhkan daripada kerusi Menteri Besar Selangor kerana taktik fitnah. 

Demi menghentikan budaya politik fitnah, perbuatan Mohd Rafizi Ramli yang membuat tuduhan jahat, penyelewengan fakta dan penipuan yang jelas bertujuan untuk memfitnah dan menghancurkan kredibiliti saya, dan PAS diambang pengundian pada 19 November 2022 perlu diambil tindakan mengikut lunas undang-undang untuk mencari keadilan dan kebenaran. 

Saya berharap mereka yang telah difitnah Rafizi turut akan mengikut jejak saya. 

Insya-Allah, saman tersebut telah diterima oleh mahkamah dan peguam saya akan menyampaikan saman tersebut kepada Mohd Rafizi Ramli. 

Saya berharap agar Mohd Rafizi Ramli berani berhadapan dengan proses mahkamah mengikut lunas undang-undang, dan bukan hanya berkokok melaungkan fitnah di media-media sosial dan pentas ceramah.

Saya sahut cabaran Mohd Rafizi Ramli untuk menyaman beliau. Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan setebal 73 muka surat dan pihak mahkamah telah menerima writ saman tersebut.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS – HARAKAHDAILY 18/11/2022

- Advertisement -