Deklarasi Gabungan Pondok Se-Malaysia mengenai PRU15

- Advertisement -

MENYEDARI;

- Advertisement -

1. Keamanan dan kemakmuran negara adalah hal utama yang dituntut dalam Syariat Islam dan bahawa Islam aliran Ahlu Sunnah wal Jamaah   terbukti berjaya menjaga keharmonian amalan beragama di Alam Melayu selama ratusan tahun. 

2. Amanah utama kepimpinan negara adalah menjaga setiap masa kesejahteraan rakyat dan negara berasaskan dasar dan nilai Islam sebagai Agama Persekutuan.

3. Perlembagaan Persekutuan adalah landasan bagi pemerintahan negara yang mesti dipatuhi bagi memastikan keadilan dan kesejahteraan terlaksana di negara ini.

4. Negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang semakin mencabar, cuaca yang tidak menentu, ancaman anasir luar yang menggugat jati diri bangsa dan kuasa politik yang belum stabil.

5. PRU15 merupakan detik penting bagi menyediakan kepimpinan yang mampu mengemudi rakyat dan negara menghadapi segala cabaran menuju kesejahteraan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara.

Maka atas keprihatinan bersama, tanpa menafikan kebijaksanaan pemilih, kami nyatakan;

Panduan asas memilih parti dan calon Parlimen: 

1. Menolak parti-parti politik yang berprinsip, berfahaman, bersifat atau bersikap seperti berikut: 

a) Tidak menzahirkan kepatuhan kepada keluhuran Perlembagaan.

b) Tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

c) Tidak menzahirkan kesetiaan kepada kuasa dan Kedaulatan Raja-raja Melayu.

d) Tidak menghormati hak-hak orang Melayu serta kepentingan sah anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak.

e) Tidak menghormati kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

2. Menolak calon-calon yang disabit jenayah rasuah, tidak berintegriti, mendukung fahaman komunisme, ekstrimisme, liberalisme, pluralisme, shiisme, wahabisme, evangelisme atau apa-apa aliran ideologi yang bercanggah dengan pegangan agama (Ahlu Sunnah wal Jamaah), adat budaya, Perlembagaan, peradaban Tanah Melayu demi kestabilan, kemakmuran dan keharmonian negara.

3. Tidak menjadikan Pakatan Harapan (PH) sebagai pilihan untuk membentuk kerajaan atau menjadi gabungan kerajaan sebaliknya sekadar menjadi barisan pembangkang yang bijak, ikhlas dan bersungguh-sungguh memberi teguran dan kritikan membina kepada kerajaan. 

Komponen PH jelas masih dibayangi ideologi serta calon-calon yang tidak jelas kesediaan mereka mendukung Syariah Islam agama negara serta Perlembagaan. Namun, tidak dinafikan, negara masih memerlukan komponen pembangkang seperti PH  untuk berfungsi sebagai ‘check and balance’ (semak dan imbang) yang berkesan kepada kerajaan kelak. 

Akhirnya kami menyeru semua pemilih dari segenap lapisan masyarakat, terutamanya golongan muda yang merupakan pengundi sulung agar menimbangkan dengan cermat dan berhati-hati amanah memilih dalam PRU15 ini serta kesannya kepada diri, keluarga, masyarakat, generasi dan negara. Semoga pertimbangan yang sewajarnya daripada semua akan menjadi khidmat bakti bermakna buat agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Sekian

Yang Berkhidmat,

USTAZ MARZUKI YUSOF
Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Se Malaysia (PMPS) – HARAKAHDAILY 18/11/2022

- Advertisement -