Ustaz Datuk Hj Idris Ahmad diterima masyarakat Bagan Serai

- Advertisement -

PAHATAN takdir hidup kita dalam genggaman Allah SWT, segalanya telah tercatat sejak azali lagi. Aku mengenalinya sejak 27 tahun lampau, saat mula menjadi Exco Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

- Advertisement -

Bertandang ke Bagan Serai kali ini mahu memenuhi jadual membantu calon-calon PAS yang bertanding atas susunan jadual pejabat SUA.

“Boleh menang ke Ustaz Derih kat sini?” aku memancing pada seorang anak muda yang mengiringi team kami, Lestari Pusat.

“Boleh kali ini, Bagan Serai nampak gelombang sokongan pada PN sangat kuat,” jawab anak muda itu dengan bersemangat. Dia berlabun tanpa perlu aku memberikan soalan tambahan, ulasan demi ulasan untuk menyokong jawabannya sebentar tadi.

“Cuma untuk DUN itu bergantung kepada keadaan,” tukas anak muda bertubuh lonjong itu, dia penganalisa politik lokal yang agak baik. Aku melepaskan pandangan pada sawah padi yang terbentang luas, menguning hijau dalam rendaman air hujan musim banjir.

Kuliah pertama malam tadi di premis PASTI, hujan menampar atap zink seperti irama melankolik, bagus untuk pengantin baru mengawan dan petani melepaskan lelah seharian bekerja.

Bergerak team kami ke lokasi kedua ceramah dengan curahan hujan yang masih meriah. Ustaz Idris sedang dirakamkan suara oleh petugas kempen, aku menghampiri dengan menatap sandal cap ayam disarung pak Menteri itu, “Ana pakai barang murah pun, depa ingat jenis mahal,” katanya menyeringai senyum.

Orang ramai memenuhkan kerusi di bawah kanopi untuk mendengar kupasan politik daripada Naib Presiden PAS itu, perkembangan PN dan juga saingannya PH. Rasanya ini pertama kali memasuki PRU dengan merasakan BN bukan lagi koalisi politik yang digeruni.

Pos petugas yang sendu, tiada lagi himpunan besar BN bahkan sosok utama BN berkubu di Bagan Datok dan Bera. Tak berkutik dan galak seperti pilihan raya-pilihan raya yang lepas.

Pengerusi ceramah malam itu memperkenalkan Ustaz Idris, beliau calon heavy weight PAS, mungkin kerana faktor pengalaman bergulat dengan akar umbi, kekanangan dalam parti, memegang portfolio yang paling dekat dengan nurani orang PAS “Menteri Agama”.

Anak kelahiran Bukit Gantang ini mendapat pendidikan awal di daerah kelahirannya sebelum menyambung pengajian peringkat menengah di Kolej Islam Kelang. Alma mater yang melahirkan ramai tokoh negara serta tokoh gerakan, disini bakatnya diasah dalam organisasi dan skill oratasi.

Ustaz Idris melanjutkan pendidikan tinggi di UKM Bangi dalam bidang Dakwah dan Kepimpinan sehingga menggalang tahap Sarjana (MA), beliau juga menyambung ijazah doktorat di UKM namun berhenti kerana masalah peraturan baru Pengajian Tinggi.

Lelaki beristeri satu ini juga adalah mantan pensyarah UITM Melaka dan kesempatan berkhidmat di Melaka telah digunakan untuk mengkaderkan ramai anak muda. Beliau menggerakkan Jabatan Pelajar dan Mahasiswa, seterusnya menggerakkan Lujnah Tarbiah Dan Perkaderan dalam Dewan Pemuda PAS.

Sosok ini berinteraksi dengan ramai anak muda kampus, para pemuda di seluruh tanah air, juga perkaderan dalam dan luar negara, Eropah ke Asia Barat, berlanglangbuana ke Asia Timur serta Nusantara.

Jawatan akhirnya dalam Dewan Pemuda PAS Pusat ialah sebagai Timbalan Ketua Pemuda. Semenjak 2015, Ustaz Idris adalah Naib Presiden PAS, manakala sebahagian besar teman- teman lamanya telah menubuhkan Parti Amanah (PAN).

Perlantikan beliau sebagai Menteri Agama menjadikan YB Senator Ustaz Idris Ahmad sebagai tarikan pesona terbesar, orang Melayu sangat prihatin dengan apa sahaja polisi dan isu agama.

Beliau sasaran kebencian, cabutan judi meriah maka beliau dibalun tanpa kasihan belas, konsert bersemarak dia juga menanggung makian pembenci. Seolah semua kerja Menteri lain, Menteri Agama ada kunci khas untuk menyekat onar kepada agama, cukup ironi sikap rakyat. Semasa mengundi dahulu tak menyokong PAS tetapi tetap mengharapkan pemimpin PAS menjaga kemuliaan agama. Bongok berganda!

Para pembenci beliau terutama penyokong PAN, juga jamaah dhirar berhempas-pulas mencari kelemahan, memanipulasi kelemahan kerajaan bagi menghempap kesalahan kepada Menteri Agama daripada PAS.

Persaingan inter jamaah juga mewarnai Kementerian bawah beliau, segalanya tak mudah untuk ditanggani, pengalaman berorganisasi sejak zaman belia akan menjadi senjata paling ampuh.

Watak bermuka manis ini disenangi anak-anak buah, dia umpama abang dan guru, dimarahinya bermakna dia sayang, bergurau kami bukan kepalang. Semenjak keluar kampus dia tak lelah membimbing aku dijalan ini, memberikan peluang awal untukku berkuliah, dimasukkan dalam Lujnah Tarbiah dan menikmati persahabatan yang indah.

Mantan pendebat nasional di zaman persekolahan, mantan pemimpin mahasiswa UKM dan nasional, kalah banyak kali dalam PRU dan PRK, menang pada tahun 2013 di Parlimen Bukit Gantang namun tewas pula pada 2018.

Beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara selepas berlaku perubahan pentadbiran peringkat nasional. Kami generasi pimpinan anak muda 90an menggelarkannya “tok naqib” dan dia memimpin kami tanpa ada jurang harkat sosial. Moga pengundi Bagan Serai memangkah Datuk Ustaz Idris Ahmad supaya bergegar dengan suara garau beliau nanti dalam Parlimen Malaysia.

Masyarakat Bagan Serai dikenali masyarakat yang akrab dengan agama. Inilah kawasan pertama PAS menghantar Calonnya ke Parlimen pada tahun 1955, iaitu Tuan guru Haji Ahmad Tuan Husein.

Dahulunya dikenali sebagai Parlimen Kerian, maka kawasan ini bukanlah asing kepada PAS. Poster calon Bagan Serai dengan guratan wajah yang tenang dan tak lekang senyuman. Ada ‘X’ faktor yang memicu pesona besar untuk pengundi memangkah calon PAS/ PN.

Ayahnya adalah ulama tersohor Tuan Guru Haji Ahmad Sungai Petai, begitu juga adik-beradiknya yang lain seperti Ustaz Dato Salleh Haji Ahmad, Ustaz Zakaria Ahmad, Ustaz Hasan Ahmad, Ustaz Husein Ahmad dan lain- lain.

Bagan Serai dan kari ikan sembilang sangat sinonim, moga suara tokoh PAS mewakili konstitusi ini pada 19 November ini.

Penulis ialah DR RIDUAN MOHAMAD NOR, AJK PAS Pusat merangkap Pengerusi LESTARI. – HARAKAHDAILY 17/11/2022

- Advertisement -