KUALA LUMPUR: “Kedua-dua ekstrem ini menunjukkan lemahnya kesedaran patriotisme dan perkara ini mestilah diubati – jika tidak pada masa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini pun, sekurang-kurangnya ada selepas keputusan pembentukan pemerintahan baharu kerajaan diisytiharkan nanti (selepas keputusan PRU15 kelak).”
Itu pandangan pensyarah di Jabatan Pentadbiran Awam, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Prof Madya Dr Makmor Tumin apabila ditanya tentang harapan peribadi beliau sebagai rakyat Malaysia terhadap PRU15.
Apa yang dimaksudkan beliau adalah tentang kesedaran patriostime di Malaysia yang menurutnya adalah semakin menipis buat masa ini – yang dicetuskan oleh dua sikap ekstrem terhadap patriotisme (atau kesetiaan kepada negara) itu sendiri.
“Dengan rendah diri, saya ingin memaklumkan bahawa politik Malaysia dan khususnya pilihan raya tiada dalam kepakaran saya,” katanya kepada HarakahDaily.
Menurut beliau, disebabkan kepakaran akademiknya adalah tentang pemikiran politik perbandingan (Islam dan Dunia Barat) dan masyarakat sivil, yang mana penyelidikan yang dilakukannya kini adalah tentang patriotisme, maka beliau memberikan pandangan tentang PRU15 dari segi patriotisme.
“Saya mengharapkan agar setiap warganegara dapat meningkatkan kesedaran patriotisme Malaysia yang pada hemat saya bukan sahaja sudah semakin menipis tetapi juga kian terhakis.
“Yang dimaksudkan dengan patriotisme di sini adalah kesetiaan kepada negara yang dapat dikiaskan dengan kecintaan kepada keluarga,” tegasnya.
Apa yang dimaksudkan dengan patriotisme di sini, ujar Makmor lagi, adalah mengandungi dua ciri yang diibaratkan sebagai ‘two sides of the same coin’.
“Pada sisi yang pertama, patriotisme itu dicirikan dengan rasa bangga terhadap apa sahaja pencapaian negara.
“Dari sisi satu lagi itu pula ialah rasa bersalah di atas kegagalan negara pada semua perkara.
“Tiada satu rasa daripada kedua-duanya – maka akan menipis dan terhakislah patriotisme, lalu akan hancurlah negara!
“Dunia kini sedang berhadapan dengan dua ekstrem berkenaan; dan Malaysia tidak terkecuali,” jelas beliau.
Tambah beliau, ekstrem pada rentang hujung kiri keterlaluan dan keras dengan ideologi perjuangan sehingga menjadikan masalah xenofobia.
“Ekstrem kanan pada rentang yang sama itu pula keterlaluan dengan sifat keterbukaan sehingga tiada sempadan sifat kesejagatannya, yang berpandangan bahawa semuanya sama dan setiap individu berkuasa veto, membuat keputusan memilih berdasarkan kehendak hak individunya semata-mata,” jelas beliau.
Menjelaskan lebih lanjut, katanya, kelemahan kesedaran patriotisme muncul daripada kedua-dua ekstrem berkenaan – yang perlu segera diubati – sama ada semasa kempen PRU15 yang berbaki satu hari sahaja ini, atau sekurang-kurangnya selepas keputusan pembentukan pemerintahan baharu kerajaan diisytiharkan nanti.
“Saya juga ingin menjemput anda semua membaca buku berjudul, Reclaiming Patriotism in an Age of Extremes (2020) karya Steven B. Smith.
“Buku ini sarat dengan analisis teoritis dan historis, menghuraikan bagaimana berlakunya masalah kedua-dua ekstrem pada rentang yang sama yang telah dinyatakan sebelum ini,” jelasnya.
Menurutnya lagi, buku tersebut juga menunjukkan masalah populisme akibat globalisasi dari satu sisi dan masalah kosmopolitanisme (warganegara sedunia) dari satu sisi yang lain – yang mana kedua-duanya telah melemahkan patriotisme.
Sebagai kata-kata akhir, hujjatul Islam Imam Al-Ghazali dalam banyak diskusinya, kata Makmor, telah menekankan hal tentang kesederhanaan dan keseimbangan.
“Manusia itu diibaratkan seperti semut yang dicampakkan ke dalam lingkaran cincin yang dipanaskan.
“Ke kiri dan ke kanan, ke tepi dan ke tengah semut itu dalam mencari titik yang paling dingin. Di tengah-tengah itulah akhirnya semut itu berhenti, baik hidup mahupun matinya.”
“Di situlah kesederhanaan, di situlah keseimbangan. Wallahu a’lam,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/11/2022