6 siri program keluar Umno diadakan di Tumpat

Foto Rizal Tahir
- Advertisement -

TUMPAT: Sehingga sekarang enam siri majlis penyerahan borang ahli dan penyokong Umno menyertai Bersatu atau PAS diadakan di Tumpat termasuk di beberapa Unit Daerah Mengundi (UDM) Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor.

- Advertisement -

Setiausaha PAS Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, fenomena ahli dan penyokong Umno menyertai PAS dan Bersatu semakin rancak di kawasan Parlimen Tumpat sekarang.

Katanya, perkembangan itu berlaku hampir di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Tumpat.

“Ramai dalam kalangan mereka (penyokong Umno) menyatakan bantahan kepada calon bukan asal Umno yang bertanding mewakili parti itu di Tumpat.

“Mereka mengambil sikap membisu namun akan menggunakan peluang di kertas undi pada Sabtu ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan borang menyertai Bersatu di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, 35 bekas ahli dan penyokong Umno menyerahkan borang menyertai Bersatu kepada Timbalan Pengerusi Bersatu Bahagian Tumpat, Zamri Muhammad.

Hadir sama calon PERIKATAN NASIONAL Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi.

Wan Roslan yang juga Adun Pengkalan Kubor berkata, lebih ramai lagi penyokong Umno menyatakan sokongan secara senyap kepada calon PAS.

Oleh itu, beliau yakin calon PERIKATAN NASIONAL akan memperolehi kemenangan lebih besar berbanding diperolehi calon PAS pada PRU lepas.

“Selain itu, Mumtaz merupakan anak jati Tumpat, beliau seorang wanita yang hebat, kuat bekerja, mudah didekati, bijak, mesra dengan sesiapa sahaja.

“Pengundi Tumpat mesti mengambil peluang untuk mengundi calon PN untuk memastikan kerajaan yang dibentuk dari calon yang bersih, berintegriti, istiqamah kepada perjuangan,” ujarnya.

Sementara itu, bekas pemimpin wanita Umno Tumpat, Norhayati Rashid berkata, keluarganya menyertai Bersatu beramai-ramai kerana tidak lagi yakin terhadap kepimpinan Umno dan BN.

“Kita ingin pemimpin yang bersih, adil menerajui kepimpinan negara,” ujarnya.

Manakala suami kepada Norhayati, Anuar Hassan berkata, Umno kini tidak seperti dahulu menyebabkan mereka sekeluarga mengambil keputusan menyertai Bersatu kerana yakin dengan kepimpinan Tan Sri Muhyidin Yassin.

“Kami memang meminati dia (Muhyiddin) dan kami yakin dia boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia yang cemerlang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/11/2022

- Advertisement -