Penyokong Umno diajak tolak pemimpin sisih penyatuan ummah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ahli dan penyokong Umno perlu menilai agenda penyatuan ummah yang dirintis bersama PAS, Bersatu dan Umno terhalang kerana tindakan pemimpin Umno kluster mahkamah.

- Advertisement -

Malah lebih malang lagi apabila pemimpin Umno yang pernah terbabit secara langsung agenda penyatuan ummah disingkirkan daripada menjadi calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

Ketua Penerangan PERIKATAN NASIONAL (PN) Kelantan, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, antara pemimpin Umno yang menjadi mangsa termasuk Ketua Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Katanya, pemimpin Umno terbabit sebelum ini berusaha keras cuba menyatukan tiga parti Melayu Islam terbesar di negara ini.

“Usaha itu sangat cantik apabila orang Islam boleh duduk sekali. Namun mereka menjadi korban oleh pimpinan atasan Umno.

“Jadi saya minta ahli Umno dan penyokong menolak pemimpin Umno yang bermasalah melalui undi Sabtu ini.

“Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob pernah meluahkan rasa kecewa dan terkilan kerana sebahagian menteri kabinet prestasi baik diketepikan,” katanya pada ceramah membantu calon PERIKATAN NASIONAL Parlimen Ketereh di Kampung Kubang Kiat di sini malam semalam.

Agenda penyatuan ummah sebelum ini digerakkan Annuar ketika dilantik sebagai Setiausaha Agung Umno. Bagaimanapun jawatan itu dilucut pemimpin utama Umno dan diganti Dato’ Ahmad Maslan.

Berikutan perlucutan jawatan Annuar, agenda penyatuan ummah yang melahirkan Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019 diabaikan pemimpin Umno.

Mohd Nassuruddin yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, ahli dan penyokong Umno hanya perlu memilih PERIKATAN NASIONAL sebagai mesej bagi menolak kepimpinan Umno yang menolak penyatuan ummah.

Kata beliau penyokong Umno terbabit tidak perlu keluar parti, namun hanya menolak kepimpinan Umno yang ada sekarang di kertas undi bagi membolehkan parti itu diketuai pemimpin yang lebih baik.

Oleh itu beliau berkata, ahli Umno sepatutnya berfikir dua kali untuk mengangkat pemimpin yang terlibat dengan perbicaraan di mahkamah sebagai wakil rakyat. – HARAKAHDAILY 16/11/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -