Tadika MAIWP Kids berkonsep pendidikan digital

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kini memperkenalkan Tadika MAIWP Kids, yang merupakan hasil transformasi terhadap Tadika Permata MAIWP dari segi imej dan operasinya. 

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIWP, Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, transformasi imej Tadika Permata MAIWP melibatkan nama, logo, lagu rasmi tadika dan ikon yang baharu. 

“Sementara transformasi operasi pula melibatkan penubuhan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa Tadika (KSIB). Ia berperanan seperti Pertubuhan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah – sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Transformasi Tadika MAIWP 2022 di Tadika MAIWP Kids, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, hari ini.  

Syed Zainal Abidin (lima dari kanan) pada majlis pelancaran Transformasi Tadika MAIWP 2022 di Tadika MAIWP Kids, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, pada 16 Nov 2022. (FOTO: MAIWP)

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd. Nizam Yahya; Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sharifah Fathiah Syed Abdullah; dan Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Agama dan Tadika TTDI, Rahatul Khairani Zainal Abidin.

Menurut Syed Zainal Abidin, pendidikan di MAIWP adalah sangat istimewa kerana mempunyai rantaian pendidikan yang berterusan bermula dari peringkat pendidikan awal kanak-kanak sehinggalah ke peringkat pendidikan warga emas.

Beliau berkata, MAIWP turut memainkan peranan besar membantu anak-anak asnaf dan keluarga B40 mencapai akses pendidikan yang sempurna iaitu melalui Bahagian Pembangunan Insan (BPI) yang berfungsi memberikan peluang kepada anak-anak asnaf agar mereka tidak tercicir dalam pembelajaran. 

Persembahan sketsa daripada murid-murid Tadika MAIWP Kids, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Buka peluang idea, tenaga ibu bapa

Menjelas lebih lanjut mengenai Tadika MAIWP Kids, beliau menegaskan bahawa langkah menubuhkan tadika berkenaan membuka peluang kepada ibu bapa untuk turut sama menyumbang idea dan tenaga untuk memajukan pusat pendidikan awal untuk anak-anak mereka.

Sehubungan itu, beliau turut memberitahu Tadika MAIWP Kids lebih berkonsep pendidikan digital untuk kanak-kanak prasekolah. 

“Pihak MAIWP telah menyediakan sebuah kelas yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan digital seperti Smart TV, Smart Board, dan rangkaian internet yang dikenali sebagai Future Classroom.

Tadika MAIWP Kids turut menyediakan kelas yang dilengkapkan dengan rangkaian internet yang dikenali sebagai Future Classroom.

“Tadika Permata MAIWP juga turut mempunyai TV Pendidikan Tadika melalui YouTube Channel iaitu Permata MAIWP. Segala hasil bahan ilmiah serta aktiviti tadika boleh ditonton melalui YouTube ini,” ujarnya.

Syed Zainal Abidin turut mengucapkan tahniah kepada MAIWP kerana sentiasa menyusun gerak kerja dan program berterusan sepanjang tahun dalam melaksanakan agenda pembangunan ummah melalui penubuhan Tadika MAIWP Kids di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kadar yuran yang ditawarkan oleh Tadika MAIWP Kids adalah kadar paling murah berbanding tadika-tadika lain di Malaysia.

“Ini kerana yuran yang dikenakan hanyalah sebanyak RM50 sebulan untuk sesi pagi dan RM250 sebulan untuk sesi selama sehari (pagi hingga petang),” katanya.

Pelaksanaan pembelajaran di Tadika MAIPS Kids menyuntik tambah nilai dan kelainan bagi membentuk identiti khusus buat murid-muridnya.

Tambah beliau, Tadika MAIWP Kids bukan hanya menawarkan penjagaan murid sahaja pada sebelah petang, malah turut menawarkan pelbagai kelas aktiviti seperti kelas memanah, kelas taekwondo, silat dan kelas mengaji al-Quran.

“Dari sudut pelaksanaan pembelajaran, Tadika MAIWP Kids turut menawarkan kelainan dan tambah nilai bagi membentuk identiti khusus untuk kanak-kanak yang belajar di sini. 

“Antaranya melibatkan kurikulum bahan bacaan, panduan solat dan buku latihan bagi setiap pelajaran yang diajar,” jelasnya. 

Kebitaraan Tadika

Tadika MAIWP Kids juga turut menekankan kepada bahasa penyampaian dan komunikasi lebih mengutamakan bahasa Inggeris sebagai persediaan melangkah ke peringkat sekolah rendah.

Tadika MAIWP Kids merupakan hasil transformasi terhadap Tadika Permata MAIWP.

“Ko-kurikulum MAIWP Kids pula ebih menekankan kepada kemahiran kompetensi murid seperti memanah, bersilat dan lain-lain,” katanya.

Selain itu, ujar beliau lagi, Tadika Permata MAIWP juga melaksanakan Kebitaraan Tadika (Niche) yang melibatkan penglibatan bersama antara guru, murid dan ibu bapa. 

“Dalam masa yang sama kebitaraan ini juga dapat melatih murid-murid dengan aktiviti di luar bilik darjah.

“Tadika ini telah berjaya menghasilkan pelbagai tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, herba serta ternakan ikan,” jelasnya.

Tadika MAIWP Kids lebih berkonsep pendidikan digital untuk kanak-kanak prasekolah. 

Sehubungan itu, beliau turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan  kepada Lembaga Pengurusan Sekolah Agama dan Tadika (LPSA) TTDI dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL).

“Peranan LPSA dalam membangunkan MAIWP Kids TTDI adalah sangat dihargai oleh MAIWP kerana  telah membaiki taman permainan di tadika ini. 

“JPWPKL telah banyak memberi panduan dan tunjuk ajar dalam menjalankan operasi MAIWP Kids serta Tadika Permata MAIWP. Semoga kerjasama ini akan berterusan demi pembangunan anak bangsa,” jelas beliau lagi.

Pusat penyiaran digital tadika

Sejajar itu, Syed Zainal Abidin berkata, MAIWP juga berhasrat untuk mewujudkan sebuah studio Pendidikan Permata MAIWP yang akan menjadi pusat penyiaran digital tadika pada masa akan datang.

Tadika MAIWP Kids menekankan penggunaan bahasa Inggeris dalam penyampaian dan komunikasi di kelas sebagai persediaan buat murid-muridnya melangkah ke peringkat sekolah rendah.

“Insya-Allah, MAIWP akan menambah pelbagai fungsi pendidikan digital yang sesuai dengan tahap murid prasekolah masa kini. Hasilnya adalah agar murid-murid dapat berpeluang mengikuti arus pemodenan semasa,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan yang menunaikan zakat kepada MAIWP dan Pusat Pungutan Zakat MAIWP. 

“Tanpa ada komitmen para pembayar zakat, sudah tentu program kepada masyarakat tidak dapat dibuat secara optimum dan menyeluruh. 

“Semoga segala usaha ini akan dibalas dengan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/11/2022

- Advertisement -