Gelombang di Pahang menarik, penyokong Umno tunjuk protes

- Advertisement -

PENGLIBATAN anak muda dengan gerak kerja PERIKATAN NASIONAL telah mencetuskan gelombang yang agak menarik di Pahang. Di samping itu, pertembungan dalam kalangan pemimpin Umno dan sikap protes yang ditunjukkan oleh penyokong parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini menjadikan Pahang bukan lagi negeri kubu Barisan Nasional. Ketua Penerangan PERIKATAN NASIONAL negeri, USTAZ MOHD TARMIZI YAHAYA mengupas perkembangan itu kepada Pengarang Harakahdaily, AZMI YUSOF pada pertemuan di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Panching, Permatang Badak, Kuantan hari ini.

- Advertisement -

Harakahdaily: Bagaimana Ustaz melihat perkembangan rakyat Pahang kepada PERIKATAN NASIONAL menjelang hari mengundi 19 November ini.

USTAZ MOHD TARMIZI: Di Pahang ini menarik sikit. Sebenarnya Pahang ini kubu kuat BN, tetapi kalau tengok kebelakangan ini, dia sudah tidak jadi kubu kuat BN. Contoh sesetengah daerah di sini, yang pertama, kita lihat ada penolakan daripada Umno itu sendiri, di atas tindakan beberapa pimpinan Umno dalam menentukan calon-calon pilihan raya.

Contoh mudah, ini memang tidak dapat disembunyikan lagi. Di Jerantut, naib ketua Umno sendiri yang mencalonkan diri sebagai calon Bebas sebagai tanda protes kepada pimpinan bahagian yang meletakkan calon yang bukan daripada suara bahagian akar umbi. Itu yang pertama.

Keduanya, kita lihat ada pimpinan Umno yang tidak dipilih (bertanding) baru-baru ini, contohnya di Maran. Tadi di Jerantut, ini di Maran. Situasi di mana kita lihat pertembungan di antara pimpinan yang dahulu mendapat tempat, kedudukan, berkhidmat dengan baik di Maran, Dato’ Seri Ismail Mutalib, tidak diangkat, akhirnya bersama dengan PN, dan hari ini bertembung dengan ketua bahagian, Dato’ Seri Shahaniza.

Jadi ada lonjakan sokongan daripada sebahagian penyokong Umno, yang menunjukkan sikap protes, ini dari segi Umno sendiri. Begitu juga tempat lain. Kita melihat ada setengah tempat, pengumuman calon dari BN agak lewat, dan bukan calon favourite. Contohnya di DUN Panching, bukan calon yang terkenal, tidak dikenali dalam masyarakat, diangkat sebagai calon. Tidak tahu kenapa rasionalnya.

Keduanya, gelombang Pahang ini agak menarik. Selepas ada gabungan pergerakan dari PN Pahang, dan kita buat himpunan di Kerdau, gerak kerja dari akar umbi itu sangat hebat, bahkan didukung oleh anak muda. Kalau kita pergi ke mana-mana pos, majoriti anak-anak muda bersama kita tanpa kita bayar dan upah, mereka bersama dengan kita. Saya sendiri pun ada dijumpai dengan pemuda pemuda, dia kata pemuda BN yang bersedia untuk beri sokongan kepada PN, ini jumpa face to face.

Jadi setakat kita round seluruh daerah Pahang ini, kita lihat memang ada beberapa DUN yang sangat kuat sokongan kepada PN, terutama DUN yang mana majoriti, kita dapat majoriti kalah tidak banyak. Contohnya di Cheka, Semambu, Sungai Lembing, calon anak muda di Pulau Manis. Calon anak muda kita lihat banyak mendapat tempat di hati pengundi-pengundi kerana Umno letak calon orang lama. Jadi, hari ini isu jentera tiada masalah. Isu calon di Pahang, saya kira Pahang antara negeri yang selesai awal urusan calon ini dalam gabungan PN, alhamdulillah tiada masalah. Maknanya hubungan PN mantap, kukuh, kemas di Pahang, ditambah dengan calon yang pelbagai latar belakang dan kebanyakan kita tonjolkan anak muda.

Mungkin dari segi gelombang itu juga ada kaitan dengan manifesto yang dilancarkan PN Pahang. Sejauh mana penerangan mengenai manifesto Pahang dan penerimaan rakyat.

Manifesto Pahang ini tagline dia Berkat, Makmur, Sejahtera. Berkat maksudnya keutamaan dalam mengurus tadbir negeri mesti berasaskan kepada berkat. Berkat ini kita juga terangkan kepada non-Muslim, dan mereka faham dan terima. Bagi mereka pun penting juga keberkatan dalam rezeki mereka.

Jadi kita ada 12 tawaran manifesto kepada rakyat dan kita sudah ambil masa penerangan bersama pelancaran Tuan Guru Presiden dan buat juga penerangan dalam media sosial, buat live. Risalah-risalah sudah edar ke seluruh negeri Pahang menjelaskan ada 12 tawaran yang menarik yang akan dinikmati rakyat Pahang jika diberi peluang PN untuk mentadbir Pahang. Antara yang istimewa dengan tawaran itu adalah tawaran pemilikan rumah, di mana kerajaan PN kalau diberi mandat akan berusaha untuk memberi milikan rumah kepada rakyat Pahang pada awal usia 35 tahun.

Ketika kediaman rumah perkara tuntutan, dalam keadaan rumah semakin mahal, sebahagian mereka tidak dapat buat pinjaman dan sebagainya. Maka antara manifesto kita ialah menubuhkan Syarikat Perumahan Pahang supaya rakyat yang mampu tetapi tidak mempunyai kelayakan boleh membuat pinjaman melalui Syarikat Perumahan Pahang dan mereka ditawarkan rumah pada usia awal 35 tahun. Itu paling menarik, di samping banyak lagi yang lain, untuk belia, untuk wanita, warga emas, yang jaga mak sakit, tok sakit pun ada disediakan insentif. Biasa kita beri kepada yang dijaga sahaja, menjaga pun ada disediakan juga insentif sebagai menghargai peranan mereka yang melakukan kebajikan kepada mereka yang diuji Allah SWT.

Jadi manifesto kita ini sudah mula menjadi buah mulut rakyat Pahang hari ini, antaranya isu perumahan, tanah, penggunaan tanah. Tanah terbiar di Pahang ini luas, banyak, jadi kita bincang itu untuk memanfaatkan tanah-tanah. Tanah ada hak milik, ada tuan tanah, tetapi tidak digunakan. Jadi dimanfaatkan dan diusahakan bersama untuk dimanfaatkan sebagai tanah yang memberi pendapatan kepada rakyat, terutamanya belia.

Antara fokus juga dalam manifesto kita ialah memperkasa serta memperdaya insdustri pertanian, di Pahang industri banyak. Kalau bahagian teknologi di Gebeng ada, banyak. Di Pekan, industri automotif, semuanya dalam keadaan tanah yang luas ini adalah sepatutnya industri pertanian yang sepatutnya dimanfaatkan untuk memberi peluang pekerjaan yang banyak kepada belia, pemuda pemudi Pahang.

Berdasarkan kepada perkembangan pengundi dan penerimaan rakyat kepada manifesto PN Pahang, macam mana dari segi gerak kerja khususnya jentera PN untuk melonjakkan sokongan kepada PN dalam masa sekitar tiga hari ini.

Yang kita buat untuk tempoh paling dekat ini ialah, pertama bertemu dengan sebanyak mungkin pengundi, sebab masih ada lagi pengundi yang keliru dengan PERIKATAN NASIONAL. Ini antara cabaran kita. Jadi bertemu dengan sebanyak mungkin pengundi untuk menjelaskan manifesto pusat, negeri dan memperkenalkan calon kita. Alhamdulillah hari ini jentera yang kita ada, terutamanya Muslimat, Ameerah, boleh kata setiap hari mereka bergerak rumah ke rumah.

Tinggal sasaran-sasaran tertentu untuk membantu melonjakkan lagi sokongan yang ada pada PN, akhirnya tiada masalah hari ini. Kita pergi mana pun, kurang ancaman, gangguan masyarakat terhadap PN kerana PN dilihat parti yang prihatin, bersih, dan baik dalam menguruskan kebajikan rakyat ketika Covid. So, apabila kita bertemu dengan masyarakat, tiada masalah. Mereka menerima dengan sebaiknya, tiada halangan, tiada tentangan, untuk menerima rayuan kita untuk mengundi.

Ceramah kita belum berhenti, ceramah masih dilakukan setiap malam, siang hari dibuat rayuan undi di semua kawasan. Bukan sahaja di daerah Kuantan, tetapi di seluruh Pahang. Proses rayuan undi masih lagi berjalan rumah ke rumah hari ini oleh jentera muslimat kita, pemuda kita. Malam hari pula kita lihat ada munajat dan ceramah setiap hari.

Seruan Ustaz kepada semua pengundi secara umum dan arahan kepada jentera dalam masa yang berbaki ini.

Kepada rakyat Pahang, inilah peluang untuk kita mengubah atau menukar kerajaan, merasai kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil, yang pernah mentadbir dengan cemerlang pada 16 bulan ketika negara dilanda musibah. Kita tawarkan satu kerajaan yang bersih, stabil, yang sangat mementingkan keprihatinan dan kebajikan rakyat, tawarkan kepada rakyat Pahang.

Jadi rakyat Pahang terutamanya dan juga amnya di Malaysia, boleh melihat pentadbiran BN, PH dan rakyat juga telah menikmati kejayaan kegemilangan pentadbiran kerajaan PN. Jadi saya mengajak kepada semua rakyat Pahang untuk terus memberi sokongan dan bersama kita mengubah dan merasai kenikmatan bersama di bawah pemerintahan kerajaan PN.

Kepada jentera-jentera, di semua peringkat, pertama sama-sama menjaga akhlak dalam bertugas, bekerja, kita berdakwah, berjuang kepada akhlak yang paling utama, kita cari adalah redha daripada Allah SWT.

Kedua, semua masyarakat adalah mad’u kita dan mesti kita dekati mereka dan kita tidak boleh sesekali kita anggap musuh, terutamanya rakan-rakan daripada Umno, PH, yang masih kekal dalam Umno dan PH, tetapi hati mereka tidak memberi sokongan kepada parti mereka sendiri atas pergolakan, penipuan, pembohongan yang mereka lakukan. Kebanyakan mereka ini masih lagi kekal dalam parti, tetapi bersedia untuk beri sokongan kepada kita, jadi tak apa, jaga akhlak kita.

Ketiga, teruskan munajat kita kepada Allah kerana menang kalah ini hak Allah SWT. Menang juga ujian dan kalah juga ujian kepada kita. Menang itu lebih besar ujian berbanding ujian kekalahan yang mesti kita hadapi.

Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya adalah penyandang kerusi DUN Panching. Pada PRU15 ini, beliau dicabar oleh Fauziah Abd Wahab (BN), Haslindalina Hashim (PH) dan Afif Syairol Abdul Rahim (Pejuang). – HARAKAHDAILY 16/11/2022

- Advertisement -