KANGAR: Calon PERIKATAN NASIONAL Dewan Undangan Negeri (DUN) Kayang, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil akan memberi fokus menyelesaikan isu bekalan air yang membelenggu penduduk di DUN tersebut.
“Antara isu terbesar di sini ialah air, oleh itu kita akan cuba menjadi perantara untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.
“Isunya apabila ada penduduk yang membuat aduan di Syarikat Air Perlis (SAP), mereka terpaksa melalui beberapa lapis aduan, namun akhirnya masalah tidak dapat diselesaikan juga,” katanya ketika ditemui selepas aktiviti ziarah sekitar Unit Daerah Mengundi (UDM) Hutan Melintang, di sini, hari ini.
Di samping itu, ujarnya, di peringkat DUN, PERIKATAN NASIONAL menawarkan lima tawaran utama khusus kepada penduduk setempat.
“Kita bercadang mewujudkan pusat al Quran secara percuma dengan harapan apabila didedahkan dengan ilmu al-Quran masyarakat lebih sedar terhadap agama dan mempunyai tautan agama yang kuat.
“Kita juga akan memberi insentif awal persekolahan kepada murid masuk tahun 1 dan tingkatan 1 termasuk alat bantuan mengajar kepada warga guru sekolah,” katanya.
Antara lain pihaknya juga akan cuba mendapatkan bantuan bagi memudahkan anak-anak muda memperolehi lesen memandu kelas B2 (motosikal).
“Kita dapati ramai anak muda yang tidak mempunyai lesen, jadi ia membantutkan urusan seharian mereka untuk mencari rezeki, kos mendapatkkan lesen memandu sekarang agak mahal.
“Kita juga bercadang untuk memudahkan urusan perkahwinan pertama sekaligus dapat mengurangkan masalah sosial yang berlaku,” ujar beliau.
Sehingga hari ini, jentera PN hampir 90 peratus menyantuni penduduk kampung di DUN Kayang dan pihaknya yakin dapat menyantuni seluruh masyarakat menjelang hari pengundian Sabtu ini.
Menurutnya juga, sepanjang gerak kerja kempen tersebut beliau menerima respon positif daripada penduduk kampung.
“Malah, ada yang ajak minum air. Ini menunjukkan respon positif daripada penduduk walaupun kita tahu mereka dahulu penyokong kuat Barisan Nasional (BN),” katanya. – HARAKAHDAILY 16/11/2022