KUALA LUMPUR: Pengundi muda diingatkan supaya memilih pemimpin yang benar-benar boleh menunaikan amanah dan tanggungjawab yang rakyat berikan untuk menjadi pengemudi kepada negara.
Calon Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, dalam PERIKATAN NASIONAL ada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencipta sejarah berjaya untuk mengharungi serangan Covid-19 dengan pengurusan yang baik.
Begitu juga kata beliau, Perikatan Nasional mempunyai pemimpin hebat seperti Tuan Guru Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mempunyai pengalaman mentadbir walaupun bukan mentadbir negara tetapi sebagai parti yang mentadbir negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Katanya, Kelantan antara negeri yang terbaik dari segi pengurusan kewangan walaupun bukan sebuah negeri yang kaya.
“Pengurusan kewangan yang terbaik bukan boleh lahir begitu sahaja kalau tidak ada kekuatan dari sudut mempertahankan integriti, tidak rasuah dan tidak salah guna kuasa.
“Jadi insya-Allah saya kira PERIKATAN NASIONAL boleh memberikan satu perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.
“Prihatin kepada rakyat dan insya-Allah manifesto-manifesto yang anak muda boleh baca, tawaran-tawaran yang realistik dan signifikan kepada anak-anak muda,” katanya pada sesi wawancara Harakah, baru-baru ini.
Beliau turut berharap anak-anak muda jangan terlalu mengikut gelombang yang dibawa oleh satu-satu politik semata-mata untuk menang dalam pilihan raya.
Katanya, lihatlah gabungan parti politik yang boleh betul-betul bekerja untuk membangunkan negara.
“Jangan ambil gabungan yang terlalu ekstrem, anak-anak muda harus berfikir gabungan yang prihatin kepada rakyat yang bersih yang akan memberikan kestabilan kepada negara kita.
“Apa maknanya kalau kita nak tawarkan kesejahteraan tetapi dari sudut politiknya ia tidak stabil, daripada sudut pentadbirannya pun bukan pentadbiran yang kita harapkan.
“Sebab itu saya mengharapkan anak muda kita memilih untuk menentukan siapakah jemaah menteri yang akan menguruskan negara kita,” katanya.
Tambah beliau, siapakah perdana menteri yang akan menjadi pemimpin yang akan menguruskan negara sudah tentu calon-calon yang terbaik daripada gabungan yang terbaik.
Ini, katanya supaya akhirnya kalau menjadi perdana menteri, boleh menguruskan negara dengan baik dan bersih.
“Takkan kita nak pilih ketua parti yang mungkin kalau kita nak nobatkan sebagai perdana menteri, yang ada masalah, yang masih lagi keluar masuk ke mahkmah.
“Atau yang keluar masuk penjara, nak jadi perdana menteri tetapi atas alasan yang mempunyai moral yang tidak baik, ataupun yang muda yang juga juga terlibat dalam rasuah ataupun yang tua masih terlibat yang saya kira bapa kepada kleptokrasi,” katanya.
Wawancara penuh wartawan EVA NATASHA bersama DATO’ DR AHMAD YUNUS dalam Harakah Cetak Bil. 2800.