Komunis, LGBT: Razman senarai fakta kenyataannya

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria yang berdepan tuntutan saman RM5 juta daripada Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan tetap tidak berganjak dengan kenyataannya.

- Advertisement -

Beliau yang juga calon PERIKATAN NASIONAL (PN) N.11 Gunong Semanggol dalam kempen PRU15 ini menyatakan penolakan terhadap Anwar untuk menang di P.063 Tambun dan menjadi Perdana Menteri.

Razman menyebut keterlibatan Anwar dengan DAP yang pro-Komunis dan salah laku pemimpin tersebut membabitkan isu moral serta sokongannya kepada kumpulan LGBT di mana dikhuatiri dibawa Anwar lagi kelak.

Dalam sidang media khas diadakan Razman, beliau menyenaraikan kembali perkara-perkara tersebut yang banyak terjadi terutama sepanjang tempoh pemerintahan Pakatan Harapan sebagai Kerajaan Persekutuan 22 bulan.

Menurut beliau, walaupun diketuai oleh orang Melayu, tetapi beliau yakin kerajaan tersebut berdepan desakan DAP hingga bertindak mahu meratifikasi serta menandatangani ICERD dan Statut Rom yang bercanggah Perlembagaan.

Begitu juga kesalnya, penggunaan Bahasa Mandarin dalam urusan kerajaan, sedangkan Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, selain cuba mengangkat penggunaan tulisan Cina, tetapi mengenepikan tulisan Jawi.

“Kedua, berleluasanya fahaman Komunis hingga terdapat usaha menormalisasi Komunis sebagai sebahagian daripada perjuangan kemerdekaan. Abu mayat Chin Peng Parti Komunis Malaya yang meninggal di Bangkok.

“Cukup sensitif perkara ini, tetapi ada yang bawa balik abu mayatnya untuk ditabur di negara ini,” ujar beliau, turut mengulangi mengenai isu komik berunsur Komunis untuk diedar ke sekolah-sekolah juga berlaku semasa tempoh itu.

Begitu juga katanya, sambutan memperingati perjuangan Parti Komunis Malaya di Kajang, serta perarakan kemerdekaan di Pulau Pinang yang memakai baju seragam kumpulan pengganas itu semasa PH memerintah.

Razman untuk hujah ketiga menyenaraikan unsur-unsur menidakkan keistimewaan orang Melayu bermula kenyataan menghina anggota keselamatan seperti tentera tidak bekerja, makan gaji buta dan perlu untuk mengait kelapa sawit.

Senarainya juga adalah mengenai isu memperkecilkan saiz penjawat awam, selain kebiadaban terhadap institusi tanah dan berkaitan kedaulatan negara di mana beliau bukan bersikap rasis, tetapi mempertahankan hak.

Keempat dalam senarai beliau, adalah mengenai perjuangan LGBT yang diberi tempat sepanjang tempoh PH memerintah hingga berlaku perarakan dan pertemuan dengan Menteri, selain kenyataan-kenyataan Anwar.

Menurut beliau, Anwar sudah disabit hukuman bersalah meliwat oleh mahkamah pada tahun 2014 dan keputusan disahkan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015, sekali gus enggan memohon maaf.

“Saya secara tegas, berkeyakinan bahawa Anwar Ibrahim tidak layak untuk memimpin negara. Apatah lagi memikul imej sebagai banduan kes jenayah moral yang sangat memalukan dan memohon maaf bererti membenarkan kemungkaran mereka,” tegas Razman.

Dalam kesempatan sidang media itu beliau turut mengulas isu berkaitan kerjasama sulit yang wujud daripada pihak Umno dengan pihak PH, terutama melibatkan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Anwar. – HARAKAHDAILY 15/11/2022

- Advertisement -