KOTA BHARU: Proses pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia di sini berjalan lancar, pagi ini.
Pegawai Penyelaras Pusat Mengundi Parlimen Pengkalan Chepa, Mejar Arif Mat Jusoh, berkata setakat ini proses pengundian awal yang membabitkan 1,457 anggota tentera dan pasangan berjalan lancar.
Daripada jumlah itu, katanya seramai 190 orang membuat undian pos.
“Anggota yang keluar mengundi pagi ini, paling muda berumur 21 tahun dan paling tua, kira-kira 57 tahun,” katanya ketika ditemui wartawan di Pusat Pengundian Awal Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Pusat pengundian awal bagi pegawai dan anggota Tentera Darat dibuka bermula jam 8 pagi dan dijangka tamat setelah semua anggota tentera keluar mengundi.
Sejumlah 224,828 pengundi awal mengundi di 578 Pusat Mengundi Awal di seluruh negara dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.
Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak, jumlah itu membabitkan 117,473 anggota tentera dan pasangan serta 107,355 anggota polis dan pasangan.
“Pusat Mengundi Awal ditetapkan SPR dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang. Namun terdapat beberapa Pusat Mengundi Awal akan ditutup lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 14/11/2022