KOTA BHARU: Ramai ahli dan penyokong Umno di kampung-kampung sekarang malu hendak mengakui sebagai menyokong parti itu kerana banyak salah laku pemimpin atasan.
Yang Dipertua PAS Machang, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, mereka segan untuk mengaku sebagai ahli atau penyokong Umno.
Katanya ramai pemimpin Umno terlibat dengan penyelewengan sehingga parti itu tidak lagi popular di kampung-kampung.
“Ramai ahli Umno sekarang sudah memilih Bersatu, tadi kita lihat yang naik atas pentas tadi wakil mereka, tetapi di belakang ada ratusan lagi ahli ikut keluar parti,” katanya pada Ceramah Umum Machang Bangkit di Dataran Kemuning malam tadi.
Hadir sama Ketua Perangan PERIKATAN NASIONAL Kelantan Dato’ Mohd Nassuruddin Daud; Ketua Bersatu Machang, Kamaruddin Abdul Kadir dan calon PERIKATAN NASIONAL Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Sebelum itu beberapa wakil Umno menyerah borang menyertai Bersatu. Mereka diwakili Nik Rani Ibrahim, Husin Yaakob, Abdul Rahim Abdullah, Zulhaidi Jusoh, Hanapi Omar, Nasir Mohd Nor, Sulan Jusoh dan Abdul Rahman.
Sebahagian besar mereka merupakan pemuda Umno di peringkat cawangan di Machang.
Dr Mohamed Fadzli yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, ratusan lagi ahli Umno yang akan mengikut jejak langkah keluar daripada parti tersebut.
Katanya mereka bosan dengan kepimpinan Umno yang ramai terbabit skandal salah laku sehingga terpaksa berulang alik ke mahkamah. – HARAKAHDAILY 14/11/2022