
KUALA LUMPUR: Pengundi-pengundi Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan mengundi awal pada hari esok, 15 Nov serta yang bakal mengundi menjelang 19 Nov kelak diseru agar menunaikan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.
Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia adalah hak rakyat dalam sistem demokrasi untuk memilih mana-mana parti atau pun calon yang boleh bertanding dalam PRU kali ini.
“Pastinya harapan dan doa saya agar anda semua yang mengundi lebih awal daripada pengundi yang akan turun mengundi pada 19 Nov nanti, undilah calon-calon PN,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Himpunan Rakyat PN BEST Selangor dan Wilayah Persekutuan di Padang AU2, Taman Keramat, di sini, malam ini yang dihadiri ribuan penyokong PN yang datang seawal 7 malam dan langsung tidak berganjak biarpun mereka dihujani air hujan yang lebat melanda pada ketika itu.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Azmin Ali; Naib Presiden Bersatu, Dato’ Dr Radzi Jidin; dan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Yunus Hairi.
Tidak ketinggalan hadir, Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Selangor, Dato’ Abdul Rashid Asari; serta calon-calon PN Parlimen Titiwangsa, Dr Rosni Adam; Sasha Lyna Abdul Latif (Parlimen Ampang); Nurul Fadzilah Kamaludin (Parlimen Setiawangsa); dan Dr Afif Bahardin (Parlimen Shah Alam).
Mengulas lanjut beliau berkata, mengundi awal akan menunjukkan satu trend yang mutakhir ini yang cukup membanggakan.

“Kita berhadapan dengan satu cabaran yang besar, iaitu untuk membentuk sebuah kerajaan yang akan menerajui negara selama lima tahun yang akan datang.
“Sebab itu keputusan yang saudara dan saudari akan buat pada 19 Nov nanti, menjadi penentu kepada hala tuju negara untuk lima tahun akan datang – sama ada negara kita akan mencapai tahap kemajuan yang lebih tinggi dan dapat diiktiraf sebagai naga, singa atau harimau di Asia Tenggara. Ia akan tercapai, insya-Allah,” ujar beliau.
Dalam badan rakyat ada sumbangan PN
Namun tegas beliau, atau akan berlaku sebaliknya, yang bergantung kepada siapakah yang boleh menerajui negara dalam keadaan teratur, tersusun, beramanah, berintergriti, berpengalaman untuk menguruskan Malaysia khususnya selepas mengalami pandemik Covid-19.
“Selepas pandemik Covid-19, kita berhadapan dengan satu keadaan yang luar biasa, yang tidak pernah kita lihat sebelum ini. Namun berkat doa saudara dan saudari, dan saya sendiri, ketika saya menerajui negara sebagai Perdana Menteri, maka hari ini, negara kita hampir-hampir keluar (dari pandemik) ke tahap endemik selepas lebih dua tahun pandemik.
“Sebahagian besar nyawa rakyat Malaysia terselamat dan diselamatkan oleh langkah dan tindakan pantas kerajaan PN pada waktu itu. Ingat tak? Semua yang hadir di sini sudah mendapat suntikan vaksin?
“Dalam badan saudara-saudari ada sumbangan PN agar nyawa semua terselamat. Alhamdulillah, semua yang hadir pada malam ini terselamat daripada jangkitan Covid-19 – hanya sebilangan yang meninggal dunia,” jelas Muhyiddin.

Tambah beliau, selepas itu PN menguruskan soal ekonomi negara susulan pandemik Covid-19 yang menurutnya bukan sesuatu yang mudah.
“Ini kerana saya mengambil suatu tindakan yang agak luar biasa dan tegas untuk selamatkan nyawa rakyat dengan mengadakan sekatan pergerakan atau PKP. Diakui saudara-saudari dan saya tak suka PKP, tetapi apa nak dibuat kerana pada ketika itu situasi agak mendesak.
“Kalau tiada PKP, saudara-saudari masih akan ke sana ke sini, dan kalau itu berlaku bermakna tidak akan terkawal Covid-19. Walau dalam keadaan tak terkawal dengan PKP, hampir empat juta nyawa telah dijangkiti Covid-19. Itu yang sudah berlaku,” ujarnya.
Mengungkap kembali, beliau berkata, Dato Seri Anwar Ibrahim telah melabelkan beliau sebagai ‘Bapa PKP’ tetapi pemimpin parti Pakatan Harapan (PH) itu ujar beliau lagi, amat tidak bertanggungjawab.
“(Anwar) bukan nak mengucapkan syukur atas nikmat yang Allah kurniakan, sewajarnya beliau harus mengucapkan terima kasih kepada saya. Tetapi tidak apa, kerana dalam dunia ini, ada orang seperti itu. Tak apa, itu adalah amaran Allah SWT buat saya dan kawan baik saya, Anwar.
“Namun itu semua yang telah berlaku dan berlalu. Nasib baik negara kita kini sudah kembali selamat. Jemaah menteri PN berkorban masa dan tenaga, siang dan malam, dan saya bersama mereka bertungkus-lumus untuk menguruskan masalah negara ketika itu – waktu zaman susah – nak menjaga nyawa dan kehidupan kita semua. Alhamdulillah, kita semua berada dalam keadaan baik di sini pada hari ini,” ucapnya.
BN tak bersih kerana apa?
Muhyiddin menegaskan, persoalan pokok yang ingin ditegaskan beliau ialah apa yang perlu dilakukan, bukan setakat hari ini tetapi untuk mara ke hadapan supaya kehidupan semua lebih baik.
“Agar masa hadapan anak-anak muda lebih terjamin, begitu juga masa depan golongan wanita. Bagaimana kita nak menjamin generasi akan datang, setidak-tidaknya untuk lima tahun akan datang kehidupan kita semua lebuh sempurna?
“Ini bukan satu perkara yang agak mudah. Saya ada sedikit pengalaman (dalam menguruskan waktu sukar negara) tetapi Anwar Ibrahim ada tak pengalaman sebegitu? Zahid Hamidi ada tak pengalaman itu? Biarlah rakyat yang menilai sendiri.
“Persoalannya apakah yang kita nak lakukan dalam tempoh lima tahun akan datang. Pertama, kita kena cari orang yang boleh buat kerja (menguruskan negara) dalam tempoh tersebut? Sudah tentulah kerajaan PN!” tegas beliau.
Katanya lagi dalam PN sekarang ini, masih ada menteri-menteri yang mampu melunaskan tanggungjawab yang berat buat rakyat.
“Apa pun kita (PN) ada keupayaan – yang penting you need an able and capable government (rakyat perlukan kerajaan yang boleh dan berkeupayaan) dan saya ingin tekankan PN lah kerajaan itu!
“Bukan sahaja able and capable tetapi mestilah juga (kerajaan) yang bersih. Siapa bersih? Barisan Nasional (BN) bersih? BN tak bersih kerana apa? (Sudah tentu) rasuah. Berapa banyak rasuah?
“Ya itulah kluster mahkamah. Mereka tidak bertanggungjawab. Bila dah memegang tampuk dan pemerintahan kerajaan, kita mesti bersikap amanah, jaga hal ehwal dan urusan rakyat dengan baik.
Namun, ujar Muhyiddin, kalau orang-orang yang telah banyak melakukan banyak juga kesalahan, salah guna kuasa, rasuah yang melibatkan berbilion-bilion ringgit milik negara yang dirompak sebegitu rupa, sudah pasti sebuah kerajaan yang baik yang menjamin masa depan rakyat tidak akan dapat dibentuk.
“Apa lagi kita tahu masalah disebabkan Pakatan Harapan (PH). Selama 22 tahun memerintah, apa yang PH buat? Tak ada apa. PH bagi (rakyat) RM30 (seorang) sahaja,” ujarnya.
Ketika PN mentadbir negara, sejumlah RM530 bilion dalam bentuk bantuan wang fiskal dan bukan fiskal telah disalurkan untuk membantu rakyat agar tidak dilanda kesusahan, agar ada cukup bekalan makanan untuk dimakan.
“Terima kasih dan bersyukur kita kepada Allah SWT. Jadi, gabungan BN kita tahu rekodnya bagaimana, dan kita tahu masalah PH dan rekodnya selama 22 bulan memerintah negara. Berbanding PN yang memerintah selama 17 bulan, terbukti berbanding BN dan PH, yang terbaik ialah tidak lain dan tidak bukan, sudah tentulah PN!
“Kalau dah beri kepercayaan kepada PN adalah kerana integritinya – kerana tidak melakukan sebarang rasuah dan salah guna kuasa. Persoalan penting adalah apa yang PN nak buat dalam tempoh lima tahun? Nasib anak-anak muda, bagaimana kita nak bela?” soal beliau.
Apa anak-anak muda mahukan?
Menurutnya lagi, untuk anak-anak muda apa yang mereka mahukan adalah sudah tentu pekerjaan.
“Manifesto PH menjanjikan sejuta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi buat anak-anak muda (yang berpendidikan tinggi dan sederhana) dalam tempoh lima tahun!
“Boleh ke PH merealisasikannya? Sewaktu Malaysia dilanda Covid-19 dalam tempoh 17 bulan PN memerintah, kita telah wujudkan 530,000 peluang pekerjaan, tetapi selepas era pandemik, insya-Allah kita boleh wujudkan pula satu juta peluang pekerjaan tersebut. Itu hanya satu tawaran dalam manifesto PN buat rakyat,” jelas Muhyiddin.
Tak kurang penting, katanya, kerajaan yang mengurus negara secara berhemah – tadbir urus yang baik.
“Kita bersumpah tak akan melakukan rasuah, salah guna kuasa dalam barisan calon-calon PN (dalam PRU15). Kalau berlaku rasuah dan salah laku, kita akan ambil tindakan terhadap mereka.
Masalah kenaikan harga barang yang dihadapi negara pula, persoalannya bagaimana kerajaan nak uruskan ekonomi?
“Ia bukan boleh diselesaikan dalam sehari dua. PN membuat tawaran yang realistik, kita akan buat dalam keupayaan kita.
“Pastinya kita akan bentuk pelbagai jawatan kuasa induk, jawatan kuasa kabinet, majlis pekerjaan negara yang pernah saya tubuhkan dulu untuk mewujudkan peluang pekerjaan semasa era pandemik.
“Ini kita akan wujudkan semula dan perkukuhkan supaya tindakan yang kita akan buat sebagai kerajaan adalah tindakan yang berkesan, boleh selesai dalam tempoh yang tidak terlalu lama, langkah-langkah untuk kita menambahkan hasil pengeluaran makanan negara untuk elak isu kenaikan harga,” ujar beliau.
Muhyiddin berkata lagi bahawa enam kawasan mega di negara ini telah dicadangkan dalam merealisasikan perkara itu.
“Jadi tak payah lah kita import lagi. Sekarang ini, negara mengimport mencecah kos RM80 bilion. Bekalan pengeluaran makanan negara sebahagian besarnya dikeluarkan negara kita sendiri. Ini bukan cita-cita. Ini janji yang akan dilaksanakan apabila PN diberi mandat untuk mentadbir negara dalam tempoh lima tahun akan datang.
Justeru, Muhyuddin menekankan bahawa pengundi PRU15 wajar mengundi PN untuk memastikan sebuah kerajaan yang prihatin – tidak putus-putus mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, menyelesaikan masalah dan merangka wawasan maju ke depan.
“Sebuah kerajaan yang bersih – didasari nilai integriti dan menolak rasuah, menampal ketirisan – agar hasil kekayaaan negara kekal di tangan rakyat. Duit rakyat diurus dengan amanah untuk menjana pembangunan dan merancakkan semula ekonomi.
“Sebuah kerajaan yang stabil – dengan keharmonian politik yang jitu, menjaga kepentingan semua kaum, melindungi kedaulatan negara. Jika ini (kerajaan) yang anda mahu, undilah PN. Pangkah PN di kertas undi,” tegasnya.
Tambah beliau, rakyat harus mengundi dengan yakin dan percaya bahawa undi tersebut akan menyumbang kepada pembentukan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil.
“Jangan termakan janji ‘saudagar mimpi’ yang belum terbukti, atau mereka yang tidak mementingkan integriti.
“Lakukan tanggungjawab anda. Kita buka lembaran baharu, bersama-sama kita menggembleng semangat kesatuan, untuk Malaysia yang lebih aman dan makmur.
“Do what is right. Vote PN Undilah PN. Kuasa ada di tangan anda. Pilih dengan yakin dan berani,” katanya.
Akhir kata, Muhyiddin menegaskan untuk PN boleh membentuk kerajaan, ia perlu mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu.
“Sekurang-kurangnya jika 80 peratus pengundi Melayu mengundi PN, insya-Allah kita akan boleh membentuk kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!