Jabatan Kesihatan Kedah galak pengundi pakai pelitup muka

- Advertisement -

ALOR SETAR: Individu positif Covid-19 yang stabil dibenarkan untuk mengundi di pusat mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan baru-baru ini.

“Mereka (pengundi positif Covid-19) akan dibantu petugas kesihatan di pusat mengundi yang lengkap dengan uniform, menggunakan kad kerja dan tag nama ketika bertugas,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurutnya seramai 1,394 petugas kesihatan akan ditempatkan di 667 kaunter kesihatan seluruh Kedah untuk tujuan tersebut.

Beliau juga berkata, carta alir proses pengundi positif Covid-19 akan dipamerkan di pintu masuk pusat mengundi bagi memudah cara proses mengundi dan meminimumkan pendedahan kepada orang ramai.

“Para pengundi yang positif diminta memaklum serta menunjukkan status Mysejahtera kepada petugas kesihatan di pintu masuk pusat mengundi dan akan diiring petugas kesihatan ke saluran mengundi yang ditetapkan.

“Mereka juga diwajibkan sentiasa memakai pelitup muka kecuali semasa proses pengenalan diri kepada petugas pilihan raya,” tambah beliau.

Menurut Dr Hayati lagi, pengundi terbabit juga perlu mencuci tangan menggunakan cecair sanitasi sebelum dan selepas mencelup jari ke dalam dakwat dan segera beredar meninggalkan pusat mengundi apabila selesai membuang undi.

Katanya, langkah itu sebagai mematuhi Perintah Pengawasan dan Pengasingan (HSO).

“Dalam masa yang sama pengundi lain juga dinasihatkan memakaikan pelitup muka, mencuci tangan dan mengamalkan penjarakan semasa di pusat mengundi.

“Ini antara saranan Jabatan Kesihatan Kedah untuk memastikan Covid-19 dapat dibendung daripada menular semula,” ujar beliau.

Selain itu bagi individu berumur 50 tahun ke atas, ibu hamil dan yang berpenyakit kronik digalakkan untuk mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform and Seek) sekiranya bergejala. – HARAKAHDAILY 14/11/2022

- Advertisement -