DAP muncul akhirnya, serang PAS dengan hasutan perkauman

- Advertisement -

DAP yang dilihat mendiamkan diri dari arus perdana kempen PRU15 sejak lebih seminggu lalu akhirnya keluar dari sarang persembunyian. Pemimpin DAP, Nga Kor Ming mendakwa, Malaysia akan menjadi ‘Afghanistan’ sekiranya BERSATU yang berasaskan Melayu dan PAS dengan dasar Islamnya berkuasa dari PRU15 ini.

- Advertisement -

Menurut laporan satu portal berita, amaran Kor Ming dalam kenyataan berbahasa Mandarin itu telah menghidupkan semula amaran ‘Taliban’ pernah diungkapkan beliau terhadap PAS beberapa tahun lalu. Tuduhan seumpama yang dangkal itu sememangnya sudah dijangkakan dengan PAS menjadi sasaran utama DAP.

Namun, ia menyerlahkan bahawa parti Cauvinis itu kepanasan terhadap perkembangan positif sedang memihak kepada PAS khasnya dan PERIKATAN NASIONAL (PN) amnya. Malah, dilihat DAP begitu terdesak memainkan semula sentimen tersebut bagi menyekat pesaingnya iaitu GERAKAN yang majoritinya dianggotai kaum Cina.

Kenyataan tuduhan berbaur sentimen perkauman itu dilihat cuba menghasut dengan dakwaan bahawa PAS akan mengenengahkan dasar ‘pelampau’ mengenai perjudian, arak, konsert serta pengasingan lelaki dan wanita. Pengerusi DAP Perak itu juga mendakwa, dasar tersebut akan mengancam nilai sekular dan kepelbagaian budaya negara.

Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen P.076 Teluk Intan dan DUN N.29 Kepayang menuduh, dasar-dasar itu akan ‘menceroboh’ kebebasan orang bukan-Islam. Serta katanya, membawa kepada penghijrahan pelabur asing yang seterusnya akan memberi kesan kepada ekonomi.

Kor Ming turut menunjukkan kebimbangan dan kegelisahan teramat apabila memetik pengumuman pihak PN yang akan melantik Menteri Besar daripada calon PAS. Iaitu bagi negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang sekiranya gabungan tersebut menang pada PRU15 ini.

“Lebih teruk ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan menggantikan Pengerusi (PN) Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Untuk mengelakkan perkara yang tidak dapat dibayangkan ini, kita tidak boleh memberikan satu undi kepada PN demi mempertahankan kepelbagaian budaya, hak asasi manusia dan kebebasan.”

Begitulah rasa tergugat dan terancam yang tidak terbendung lagi oleh Kor Ming mewakili DAP di mana ungkapan hampir serupa pernah diungkapnya tahun 2019 dahulu. Tuduhan dakwaan beliau itu sebaliknya mengesahkan secara lebih terang dan nyata terhadap pendirian semasa DAP dan kegiatan mahu dipertahankan parti itu.

Perjudian, arak dan konsert sosial yang secara terbukti telah menyebabkan banyak masalah dan akibat buruk serta mendapat bantahan ramai tetap juga dituntut DAP sebagai hak. Di atas keterangan mana dipegang Kor Ming untuk menyatakan perkara-perkara tersebut sebagai kepelbagaian budaya negara?

Kebebasan dan hak mana yang telah diceroboh serta berapa ramai pelabur asing telah berhijrah keluar hingga memberi kesan kepada ekonomi rakyat dan negara? Atau apakah Kor Ming terbuka pekung bahawa sebenarnya yang lari itu merupakan taikun-taikun pembiaya dana kepada kepentingan DAP? 

Rekod pertumbuhan ekonomi negara pasca kejatuhan Kerajaan PH juga tidak menunjukkan sumbangan signifikan daripada perjudian, arak mahupun konsert. Kerana ianya bukanlah amalan rutin, mahupun kegiatan berkala majoriti masyarakat Malaysia melainkan hanya segelintir golongan. 

Terima kasih Kor Ming atas kemunculan anda mewakili DAP-PH dan bersedialah menerima impaknya. Selamat meneruskan baki hari-hari kempen PRU15.

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 13/11/2022

- Advertisement -