Terjemahkan respons positif kepada PN di kertas undi

- Advertisement -

CALON PERIKATAN NASIONAL Parlimen Bangi, MUHAMMAD NAZRUL HAKIM MD NAZIR, 27, adalah antara calon orang muda pada Pilihan Raya Umum ke-15. Anak jati Kajang ini mendapat respons positif daripada pengundi muda yang ditemui. Bagi golongan ini, anak muda perlu mewakili suara mereka dalam Parlimen. Justeru, beliau menyeru anak muda dan para pengundi menterjemahkan respons positif kepada PERIKATAN NASIONAL di kertas undi pada 19 November nanti. Muhammad Nazrul Hakim sempat ditemui Pengarang Harakahdaily, AZMI YUSOF pada aktiviti kempen di Balakong Jaya, hari ini.

- Advertisement -

Harakahdaily: Bagaimana gerak kerja jentera PERIKATAN NASIONAL di kawasan Parlimen Bangi sehingga kini?

Alhamdulillah, hampir seminggu berkempen ini, saya melihat gerak kerja sangat tersusun. PERIKATAN NASIONAL di Bangi, anggagement kita dengan parti komponen juga sangat baik, rakan-rakan daripada Bersatu, Gerakan juga ada turun sekali dalam gerak kerja kempen.

Kita sudah banyak sentuh kawasan-kawasan dan kita santuni ramai pengundi bukan sahaja di Sungai Ramal sahaja, juga di Balakong, dan juga di Kajang. Bukan pengundi Melayu sahaja tetapi kita santuni juga sahabat-sahabat kita bukan warga Melayu termasuk bangsa Cina dan India.

Jadi reaksi masyarakat di Bangi amat positif dan saya lihat mereka mahukan perubahan di Bangi. Mereka sangat mengharapkan PERIKATAN NASIONAL mampu memberikan satu perubahan di Parlimen Bangi ini dan insya-Allah itu yang kita akan bawakan dalam pilihan raya umum kali ini.

Saudara adalah calon orang muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini. Bagaimana dengan penerimaan kalangan pengundi muda di Bangi?

Alhamdulillah, respons pengundi muda di Bangi ini sangat positif. Mungkin antara sebabnya kerana ada rakan-rakan yang berusia lebih kurang sebaya dengan mereka, ada diberikan amanah untuk menjadi calon dan mewakili suara mereka di Parlimen Bangi ini.

Jadi respons mereka amat positif. Begitu juga dengan rakan-rakan saya memberikan respons yang sama. Jadi kita mengharapkan dengan respons positif ini akan diterjemahkan di kertas undi pada 19 November ini.

Ada juga yang sedikit meletakkan satu kesangsian kerana calon ini dikatakan terlalu muda. Tetapi setelah mereka membaca profile dan track record pengalaman saya berada sepanjang di dalam kerajaan sebagai pegawai kepada menteri dan juga timbalan menteri, mereka lihat ini adalah anak muda yang sesuai untuk diletakkan sebagai calon di parlimen Bangi ini.

Saudara berdepan dengan tujuh lagi calon pada pilihan raya ini. Adakah ini satu cabaran buat saudara?

Itu cabaran terbesar di Bangi, sebab kita ada lapan penjuru. Jadi setiap calon itu mempunyai kekuatan masing-masing yang mana kita tidak boleh underestimated mana-mana calon termasuk juga parti-parti lain. Walaupun kita melihat mereka bertanding atas logo Bebas atau bertanding atas parti yang kecil tetapi mereka ada kelebihan masing-masing.

Apa usaha yang dilakukan bagi melonjakkan lagi sokongan para pengundi di Bangi ini kepada PERIKATAN NASIONAL?

Bagi kita PN di Bangi ini kita akan fokus pada tawaran PERIKATAN NASIONAL untuk kita memenangi hati rakyat. Kita akan menunjukkan bahawasanya PN ini adalah parti yang benar-benar ikhlas untuk menjaga kebajikan mereka. Kita tunjukkan track record kita semasa menjadi kerajaan, kita lah memberi bantuan dan menstabilkan negara dalam tempoh pandemik.

Insya-Allah dengan tawaran dan track record ini, kita sebagai kerajaan, kita yakin dan percaya pengundi-pengundi di Bangi akan membuat keputusan yang tepat untuk memilih PERIKATAN NASIONAL sebagai kerajaan pada PRU15 dan juga PN sebagai wakil mereka di parlimen Bangi ini insya-Allah.

Pesanan saudara kepada jentera PERIKATAN NASIONAL dan para pengundi dalam tempoh seminggu ini.

Pesanan saya untuk jentera supaya mantapkan lagi gerak kerja kita sepanjang seminggu ini Kita perlu santuni hati-hati pengundi sebab kita tidak tahu siapa sebenarnya yang kita santuni. Mungkin mereka akan terbuka hati untuk bersama dengan kita, untuk meyakini kita sebagai pilihan yang terbaik untuk warga Bangi. Kita ketuk pintu rumah mereka supaya dapat ketuk pintu hati mereka untuk bersama-sama dengan kita dalam perjuangan ini.

Kepada semua pengundi di Bangi yakinlah bahawasanya PN ini datang membawa mesej yang ikhlas, prihatin untuk kita mengangkat aspirasi rakyat dan menjaga kebajikan rakyat. Kita mahukan negara yang prihatin, bersih dan stabil dalam menuju Bangi dan Malaysia yang lebih sejahtera. Berilah kepercayaan kepada kami, PERIKATAN NASIONAL untuk memacu pada lima tahun yang akan dating. Insya-Allah kita janji tidak akan hampakan harapan dan aspirasi warga Bangi ini demi Malaysia yang lebih sejahtera. 19 November pastikan turun mengundi dan undi PERIKATAN NASIONAL. – HARAKAHDAILY 12/11/2022

- Advertisement -