Sultanah Nur Diana dahului senarai 769 penerima darjah kebesaran

Sultanah Nur Diana Petra Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sultanah Nur Diana Petra Abdullah mendahului senarai 769 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-53 Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

- Advertisement -

Baginda dikurniakan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Al-Yunusi (DK) pada majlis pengurniaan darjah kebesaran dan bintang-bintang dikurniakan diadakan di Istana Balai Besar, di sini, hari ini.

Turut menerima anugerah DK ialah Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah Ibni Al-Marhum Sultan Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.

Sementara, Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson Petra pula menerima darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Kelantan (SPMK) membawa kepada gelaran Dato’.

Turut menerima gelaran sama ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi Ibni DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dari Brunei Darussalam.

Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra pula dikurniakan gelaran Tengku Bendahara Kelantan.

Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dianugerahkan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan (S.J.M.K).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Kelantan, Dr Izani Husin pula menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota  Kelantan Yang Amat Mulia (Datuk Paduka).

Semenatara, Timbalan Mufti Kelantan Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, dianugerahkan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.S.M.K). – HARAKAHDAILY 12/11/2022

- Advertisement -