Ketagihan ‘membongkar’ ala Rafizi berterusan

- Advertisement -

PENDAHULUAN

- Advertisement -

‘Rafizi Ramli kembali!’

Demikian ungkapan yang kerap disebut oleh media sejak musim pemilihan PKR sejak April hingga Julai lalu, dan ungkapan itu sedikit sebanyak mempengaruhi kemenangan Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR, menumpaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, beberapa tokoh orang kanan Anwar sebelum ini telah bertukar menjadi musuh-musuh politik beliau pula. Jadi sekarang Rafizi menjadi orang paling kanan Anwar, malah sering digambarkan  sebagai tokoh pengganti beliau.

Edisi ‘pembongkaran’ Rafizi

Rafizi terkenal dengan edisi ‘pembongkaran’ yang bersifat ‘mega’. Malangnya, banyak edisi pembongkaran beliau selain skandal NFC, hanya kelihatan gah pada hari pertama ‘pembongkaran’ sahaja, kerana bukti ‘kukuh’ yang beliau peroleh seringkali tidak sekukuh seperti yang beliau dakwa.

Antaranya pembongkaran beliau bahawa Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan memberikan kontrak pelaksana Ekspo Negaraku kepada syarikat abangnya sendiri, Raslan Dahlan. Hakikatnya walaupun kedua-duanya mempunyai bapa bernama Dahlan, tapi bukanlah orang yang sama.

‘Pembongkaran’ kes Timbalan Presiden PAS 

Terbaru, pada 7 November beliau ‘membongkar’ skandal yang dikatakan melibatkan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man pula.

Kata beliau, “Untuk hari ini, saya ingin mendedahkan bahawa dimaklumkan oleh pemberi maklumat dalaman bahawa Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang dalam proses untuk menganugerahkan satu projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat yang sama iaitu Mangkabumi Sdn Bhd.“

Ustaz Tuan Ibrahim pun agak terkejut dengan serangan pembongkaran Rafizi, tak sangka pula beliau pun turut menjadi sasaran ‘pembongkaran mega’ Rafizi. Walaupun terkejut beliau terus menjawab tuduhan melulu itu dan menghantar surat tuntutan saman fitnah kepada Rafizi.

Pautan surat tuntutan itu boleh dilihat dalam link dilampirkan (1). Surat itu juga menjelaskan betapa ‘pembongkaran’ Rafizi itu tidaklah se’gah’ sidang media beliau.

Rafizi tak mahu ke SPRM

Rafizi pula kononnya bersedia untuk ke mahkamah untuk memberikan bukti yang lebih banyak ke atas Ustaz Tuan Ibrahim. 

Tetapi ketika ditanya kenapa beliau tidak membuat laporan kepada SPRM, beliau dilaporkan berkata ia hanya kerja sia-sia sebab laporannya pasti dibekukan oleh SPRM di bawah kategori NFA, tiada tindakan lanjut.

Tapi tegas beliau, jika Pakatan Harapan menang, dia pasti akan membuat laporan kepada SPRM. Beliau mahu rakyat menghukum Ustaz Tuan Ibrahim.

Harapan Rafizi

Secara tak langsung beliau menganggap SPRM akan mampu diarahkan oleh orang politik era PH seperti beliau, termasuk pelantikan Ketua Pengarah SPRM seperti pelantikan Lateefa Koya semasa pentadbiran PH.

Agaknya mungkin beliau mengimpikan jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti yang diperolehi oleh Dato’ Seri Dr Wan Azizah sebelum ini. 

Kalau begitu, mega sungguh harapan tokoh ‘pembongkar mega’ ini.

Skandal Rafizi Invoke sedang  ‘terbongkar’  

Isu yang lebih besar daripada isu yang hendak dibongkarkan oleh Rafizi ini ialah isu integriti yang melibatkan diri beliau sendiri.

Beliau mengisytiharkan dirinya jutawan. Bukan sekali jutawan, tetapi 18 kali jutawan! Lebih jutawan daripada Presiden PKR sendiri!

Punca kekayaan beliau dikatakan daripada gajinya yang ‘sangat besar’ di PETRONAS walaupun berusia muda, kemudian menerima pampasan besar pula bila memilih untuk bersara awal daripada PETRONAS.  

Ini dijadikan modal untuk menubuhkan Invoke Sdn. Bhd yang pada hari ini dikatakan bernilai RM75 juta, satu nilaian yang lebih rendah daripada nilaian rasmi yang dibuat oleh Craddle, sebuah agensi rasmi kerajaan yang meletakkan nilaian Invoke pada harga RM105 juta. 

Dengan pegangan saham Invoke sebanyak 70 peratus, nilai sebenar saham Rafizi menurut nilaian Craddle tentulah lebih daripada RM70 juta!

Persoalan orang ramai ialah Invoke tidak ditubuhkan sebagai syarikat yang berorientasikan keuntungan, ia lebih kepada pengendali data-data berkaitan kecenderungan pengundi pilihan raya ke-14, kemudian ditukarkan statusnya oleh Rafizi sebagai syarikat komersial yang pernah dua kali menjana keuntungan besar, walaupun pernah juga melaporkan kerugian.

Tetapi nilai syarikat yang pada awalnya ditubuhkan melalui sumbangan awam telah bertambah nilai entah berapa lipat kali ganda.

Bisnes apa yang Invoke buat sehingga nilainya melompat-lompat berkali ganda seperti itu? Musim kelesuan ekonomi pasca COVID-19 ini menyebabkan ramai yang ingin tahu formula perniagaan Rafizi di Invoke Sdn. Bhd.

Ahli politik yang sering membongkar isu ‘ketelusan’ seperti Rafizi diminta lebih telus daripada hanya mengatakan ia sekadar keuntungan Invoke hanyalah keuntungan di ‘atas kertas’.

Tuan Ibrahim dan KASA

Ustaz Tuan Ibrahim telah menjalankan tugas sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air dengan cukup baik sekali. Banyak isu alam sekitar dan air yang ditangani oleh kementerian beliau.

Banyak juga inisiatif yang diambil untuk memulihkan isu air di Kelantan yang selama ini dianaktirikan oleh Kerajaan BN selama puluhan tahun dan seterusnya oleh PH. Malangnya inisiatif baik beliau sentiasa di’spin’ dan dimomokkan sebagai kecaman dan cercaan, terutamanya oleh PAN di Kelantan sendiri.

Saya kira sebagai Ahli Parlimen Kelantan, beliau sangat komited dengan penyelesaian isu air Kelantan yang ada kaitan dengan Kerajaan Pusat. Hubungan yang lebih baik antara Kerajaan Pusat dengan Kelantan pasca era BN dan PH, memungkinkan Ustaz Tuan Ibrahim melangkah lebih jauh dalam menjayakan agenda ini. 

Tentulah ia bukan penyelesaian berbentuk sehari dua tetapi dalam bentuk penyelesaian konkrit yang amat diharapkan oleh rakyat Kelantan.

Penutup

Edisi ‘pembongkaran’ Rafizi pada kali ini, secara tidak sengaja telah membongkar banyak sisi positif Ustaz Tuan Ibrahim sendiri.

Biasanya tak ‘glamour’ sangat menjadi Menteri Alam Sekitar. Tapi sentuhan Tuan Ibrahim menjadikan Kementerian itu semakin dekat dengan hati rakyat dan semakin menggerunkan ‘pemusnah’ alam sekitar.

Boleh lihat gerak kerja kementerian beliau di laman web KASA.

Nampaknya ‘pembongkaran’ ala Rafizi seperti ini telah menurunkan rankingnya sebagai calon utama untuk bergegas ke Pejabat Timbalan Perdana Menteri selepas 19 November nanti. 

Itu pun jika kita sanggup beri PH sekali lagi peluang untuk menang.

ZAKARIA ISMAIL 
Marang, 12 November 2022 – HARAKAHDAILY 12/11/2022

Lampiran:

- Advertisement -