TUMPAT: Usaha kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan ulama memartabatkan pendidikan Islam tidak mampu dipertikaikan lagi apabila setiap tahun lebih RM100 juta diperuntukan bagi tujuan itu.
Pengarah YIK Engku Rajhan Engku Ismail berkata, kerajaan negeri membelanjakan lebih RM126 juta setahun untuk pengurusan YIK demi kepentingan pendidikan agama untuk rakyat.
“Malah, setiap bulan lebih RM10 juta bagi membayar gaji lebih 2,900 guru yang berkhidmat dengan Yayasan Islam Kelantan (YIK).
“YIK sekarang mempunyai 94 sekolah agama di seluruh Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Mesyuarat Agung Sekolah Menengah Ugama SMU (Arab) Bustanus Saadah, Morak, di sini, kelmarin.
Mesyuarat yang dirasmikan ADUN Wakaf Bharu, Rusli Abdullah itu turut dihadiri mudir sekolah berkenaan, Wan Fakhrulrazi Wan Mahmood, dan Pengerusi Persatuan Ibubapa Guru, Rosli Che Soh.
Tambah Engku Rajhan, sebanyak RM10 juta lagi disediakan kerajaan negeri untuk bantuan segera termasuk baikpulih bangunan sekolah dan pejabat rosak.
“Saya ingin merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana mengeluarkan peruntukan begitu besar untuk pembangunan pendidikan agama di Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/11/22
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!