KUALA NERUS: Calon PAS mewakili PERIKATAN NASIONAL bagi Parlimen Kuala Nerus pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, Dato’ Dr Alias Razak terus berkempen dalam suasana hujan.
Malam tadi, beliau menyampaikan ceramah di Markas Induk PAS DUN Tepoh, Bukit Guntong.
“Dengan cuaca hujan yang bermula petang tadi lagi, tetap tidak mematahkan semangat warga Tepoh untuk hadir,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Terengganu.
Menurutnya, suasana begitulah yang menjadi pemangkin semangat untuk beliau terus berkempen dalam PRU15 kali ini.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih warga Bukit Guntong yang sudi hadir pada majlis ceramah tersebut.
Di samping itu, beliau yang juga Adun Bukit Tunggal meneruskan aktiviti lain termasuk program ziarah dan berjumpa masyarakat setempat.
Dalam pada itu, menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata kuasa untuk menentukan kerajaan yang terbentuk dan pemimpin yang diangkat ada di tangan rakyat.
“Apabila memilih pemimpin, sudah pastinya kita mahu pemimpin tersebut berupaya menjaga kedaulatan Islam, dalam erti kata yang lain Islam akan terus diangkat dan terbela,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru para pengundi supaya memilih pemimpin yang bersama kelompok yang memperjuangkan Islam dan mempunyai cita-cita menegakkan syariat Islam di Malaysia khususnya.

Pada PRU15, beliau berdepan dengan Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (BN), Azaha Wahid (PUTRA) dan Datuk Seri Suhaimi Hashim (PH).
Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Kuala Nerus dimenangi calon PAS yang memperolehi 37,974 undi, menewaskan calon BN (29,527 undi) dan PKR (4,604).– HARAKAHDAILY 12/11/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!