Fitnah jahat cuba hancur reputasi, Tuan Ibrahim saman Rafizi

- Advertisement -

SURAT tuntutan kepada Mohd Rafizi bin Ramli telah dihantar oleh peguam saya, Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid pada 10 November 2022. Tuntutan yang dikemukakan antaranya ialah Rafizi memberi akujanji bertulis untuk berhenti daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan berkenaan tuduhan yang beliau lakukan kepada saya, dan membuat permohonan maaf dalam jangka masa 7 hari daripada tarikh surat tersebut. Jangka masa 7 hari akan berakhir pada 17 November 2022.

- Advertisement -

Namun, Rafizi telah membuat sidang media pada 11 November 2022  pada jam 10:30 pagi bertujuan kononnya untuk menjawab tuntutan yang saya kemukakan dan memberi bukti kukuh mengenai tuduhan yang beliau lakukan terhadap saya.

Walau bagaimanapun, terbukti bahawa sidang media tersebut hanya menguatkan lagi sangkaan ramai pihak bahawa Rafizi hanya membuat tuduhan palsu dan penyelewengan fakta berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi saya. 

Rafizi membuat tuduhan bahawa ‘Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang dalam proses untuk menganugerahkan satu projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat yang sama iaitu Mangkubumi Sdn Bhd’ serta ‘perbincangan dan proses itu sedang berjalan dan ada usaha untuk menganugerahkan projek itu dalam masa kerajaan caretaker’.

Dalam sidang media tersebut, Rafizi menyatakan bahawa surat bertarikh 7 Oktober 2022 dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk memaklumkan keputusan YB Menteri Kewangan meluluskan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 secara rundingan terus kepada Mangkubumi Sdn Bhd. 

Berdasarkan kepada surat tersebut, adalah jelas bahawa kelulusan tersebut bukanlah dibuat oleh saya ataupun KASA. Surat tersebut dikeluarkan pada 7 Oktober 2022, sebelum Parlimen dibubarkan dan bukan semasa tempoh kerajaan sementara (caretaker). 

Sidang media yang dibuat oleh Rafizi juga gagal sama sekali mendedahkan bukti keterlibatan saya dalam kelulusan projek termasuk usaha saya atau KASA untuk menganugerahkan projek tersebut ketika kerajaan sementara (caretaker). 

Saya juga telah menyatakan dengan jelas bahawa saya tidak pernah berjumpa, berunding atau membuat apa-apa tindakan semasa tempoh kerajaan sementara (caretaker) ke arah menganugerahkan projek tersebut. 

Oleh yang demikian, terbukti dengan jelas bahawa kenyataan-kenyataan Rafizi termasuk sidang media semalam adalah satu fitnah jahat bagi menghancurkan reputasi saya khususnya, dan juga parti PAS umumnya.

Saya telah mengarahkan peguam saya, Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid untuk memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi sebaik sahaja menerima jawapan bertulis daripada peguam Rafizi atau selepas tamatnya tempoh 7 hari yang telah diberikan.

Sekian, terima kasih. 

DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN 
Timbalan Presiden 
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 
18 Rabi’ul Akhir 1444 | 12 November 2022 – HARAKAHDAILY 12/11/2022

- Advertisement -