Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim yang saya kenali

- Advertisement -

CALON N.04 DUN Cheka Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Saya sering ke rumah ibu bapa beliau dari zaman saya mengaji di KUSZA. Ia kerana saya berkawan baik dengan adik bongsu beliau, Tuan Fuad. Persahabatan kami akrab sehingga ke seluruh adik beradik, keluarganya termasuk arwah ibu dan bapa beliau. 

- Advertisement -

Saya sering ke Kampung Batu Balai, Jerantut. Sangat suka ke sana kerana kemesraan ini sudah seperti sebuah keluarga besar kami. Dari saya bujang, berkahwin, ada anak, saya sentiasa menziarahi keluarga besar mereka terutama almarhum ibu dan ayah ustaz. 

Malah anak kami pun diberi nama sama dengan nama almarhum ibu ustaz. 

Sungguh, banyak jasa, kenangan, pesanan dan nasihat yang kami terima dari almarhum ibu dan ayah Ustaz. Kami merindui sungguh almarhum berdua. 

Saya masih ingat almarhum sering mengaji, sering bertanya mengenai solat dan sering sebut mengenai tanggungjawab sebagai pemimpin. 

Saya pernah lihat sendiri bagaimana ustaz menyantuni ibu bapa beliau. Sangat lembut, sangat santun, sangat mesra dan sangat menghormati. Saya sering fikir inilah kekuatan dan kejayaan seorang anak. 

Ustaz Tuan seorang yang disegani. Saya amat segan dengan beliau. Namun beliau sangatlah merendah diri. Sangat mesra dan sangat ‘hidup’ dengan suasana keluarga dengan sesiapapun.

Saya doakan ustaz menang di Parlimen dan DUN. Walau tanggungjawab ini besar, saya yakin ustaz boleh pegang, genggam dan jalankan sebaiknya.

Saya takkan lupa pesan ustaz kepada saya, ‘lagi kita sibuk, lagi kita kena ziarah ibu ayah kita.’ 

Walau saya kadang culas, kadang tak buat, kadang terlupa dan sebagainya, nasihat itulah saya guna untuk berusaha balik ke Mentakab dan santuni emak abah saya sendiri. 

Jika orang lain melihat Ustaz Tuan sebagai Ahli Parlimen, Menteri dan idola masyarakat, saya melihat beliau sebagai seorang ustaz yang sering beri nasihat dan mengerti perjuangan anak lelaki yang wajar memberi jasa kepada keluarga, masyarakat dan lebih besar lagi iaitu kepada negara. Terima kasih banyak ustaz. 

Semoga menang ustaz. 

KHAIRUL HAKIMIN MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 11/11/2022

- Advertisement -