Penantian 39 tahun skuad hoki negara berakhir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Skuad hoki kebangsaan menamatkan penantian 39 tahun apabila menjulang Piala Sultan Azlan Shah 2022 buat julung kali apabila menewaskan juara bertahan Korea Selatan 3-2 dalam aksi penuh mendebarkan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, malam tadi.

- Advertisement -

Kejayaan skuad Speedy Tigers itu juga berjaya melunaskan dendam kekalahan 1-2 kepada Korea Selatan di Piala Asia di Jakarta, Mei tahun ini.

Malaysia bermula garang apabila berjaya menjaringkan gol pendahuluan meneresui Shello Silverius yang berjaya menyempurnakan gol padang pada minit ke-14, sebelum Jang Jongjyun menyamakan kedudukan 1-1 seminit kemudian.

Suasana di stadium kembali gegak gempita apabila pada minit ke-44, pengadil Raghu Prasad menghadiahkan pukulan penalti kepada Malaysia yang berjaya disempurnakan oleh Muhammad Razie Abdul Rahim untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Jaringan tersebut berjaya menaikkan moral pemain negara untuk memburu jaringan dan akhirnya, Malaysia berjaya menambah jaringan menerusi Muhammad Aminuddin Mohd Zain pada minit  ke-48 hasil jaringan padang.

Korea Selatan terus mengasak untuk merapatkan jurang jaringan dan akhirnya mereka berjaya menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti yang dijaringkan oleh Jeon Byungjin pada minit ke-58.

Namun, jaringan tersebut tidak dapat menafikan kejuaraan sulung Malaysia yang berjaya meraih kemenangan 3-2.

Pencapaian terbaik Malaysia sejak kali pertama kejohanan ini dianjurkan pada 1983 adalah menduduki tempat kedua sebanyak lima kali iaitu pada edisi 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang turut berangkat menyaksikan perlawanan tersebut berkenan menyampaikan trofi kepada Malaysia. – HARAKAHDAILY 11/11/2022