‘Gelombang’ minat kepada PERIKATAN NASIONAL

- Advertisement -

KEBANYAKAN penduduk yang ditemui calon PERIKATAN NASIONAL bagi Parlimen Temerloh, SALAMIAH MOHD NOR memberikan reaksi positif. Beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Salamiah memberitahu mereka menyatakan ‘insya-Allah’ dan memberikan sambutan yang baik kepadanya sepanjang kempen. Wartawan Harakahdaily, SYAHIRAH SALLEH berkesempatan mewawancara beliau pada majlis ceramah di Kampung Batu Satu, Temerloh, malam semalam.

- Advertisement -

Harakahdaily: Sepanjang berkempen, bagaimana reaksi pengundi terhadap PERIKATAN NASIONAL, adakah masih janggal atau bagaimana?

Setakat ini yang saya berjumpa dengan mereka, mereka begitu positif dan sambutannya, alhamdulillah, mungkin ada seorang dua. Tadi saya sempat berjumpa dengan pelajar juga, dia bertanya, ‘Eh, Cikgu dulu PAS, kenapa pula PERIKATAN NASIONAL?’ Saya pun sempat menerangkan, itu maknanya, pelajar ataupun golongan orang muda, tetapi orang yang biasa mengikuti perkembangan memang kita nampak mereka mengetahui apa yang berlaku, situasi hari ini, insya-Allah. Jadi, positiflah setakat ini.

Orang muda itu hanya seorang dua begitu, lain itu bila tanya ‘insya-Allah’, setakat ini begitu. Kita tak jumpa lagi kita bertemu dengan pengundi itu yang menolak. Semuanya ‘insya-Allah’. Saya nampak macam satu gelombang juga, gelombang yang berminat kepada PERIKATAN NASIONAL sebab ia adalah parti yang baharu. Mereka hendak cuba. Mereka sudah cuba BN, dah cuba PH, yang ini (PN) dia hendak cuba juga. Ini biasalah, orang try and error, mereka hendak lihat kali ini, insya-Allah.

Usaha yang Cikgu akan fokus selepas beberapa hari berkempen, mungkin sudah nampak rentak dan hala tuju kempen.

Saya nampak, perkara yang sangat penting adalah saya kena fokus kepada golongan muda, terutamanya mereka yang pertama kali mengundi, golongan 18, 19, 20 dan 21 tahun begitu. Kita juga berusaha untuk merancang, bertemu dengan mereka ini dalam program yang lebih santai. Jadi kita ada merancang untuk program bowling selepas ini.

Saya sendiri juga merancang untuk bertemu santai minum petang dengan para pelajar saya, insya-Allah sebab kita masih ada lagi group yang kita hantarkan. Tanya macam mana, baru-baru ini jumpa dengan Pegawai SPR yang jaga kita, dia kata ‘Eh, anak saya kata memang Cikgu dia bertanding hari ini’. Maknanya benda itu memang tersebar awal, alhamdulillah. Jadi saya merancang juga untuk bertemu, minum-minum santai dengan para pelajar, khususnya dekat dengan sekolah, kawasan perumahan, dan sebahagian besar memang pelajar dari situ, insya-Allah.

Aspek gerak kerja dalam parti dalam komponen PERIKATAN NASIONAL.

Baru-baru ini kita dijemput program minum petang dan juga sambutan hari lahir di UDM Sri Kemuning. Di sana kita lihat Serikandi pun datang sebab itu adalah DUN Mentakab yang diwakili calon Bersatu. Jadi kita melihat kesungguhan mereka pun ada, walaupun kita kata dari segi bilangan memang tak ramai, tetapi kita mahu komitmen. Dia juga sedia datang ke bilik operasi kita sendiri di DUN Mentakab itu dan sama-sama mendengar kursus PACA itu sendiri.

Jadi kita rasa satu perkara baharu apabila parti lain boleh beri kerjasama, sama-sama hendak dapat ilmu dan mendengar. Insya-Allah mereka berusaha menjadi petugas untuk PACA itu sendiri, itu satu perkembangan yang sangat baik.

Gerak kerja Muslimat khususnya, termasuk Nusaibah, Ameerah dan semua sekali. Bagaimana usaha untuk melonjakkan lagi sokongan kepada PN khususnya di Parlimen Temerloh termasuk menarik anak muda.

Setakat ini kita tidak nampak yang banyak sangat, cuma mungkin sebahagian besar daripada mereka adalah orang muda yang bekerja. Komitmen mereka agak terhad. Cuma sebelum ini juga mereka adakan program santai untuk fitness bersama coach Hajar dan sambutannya, alhamdulillah. Di situ juga kita lihat pendekatan itu sebenarnya sangat penting, sebab kita sudah mula buka. Satu bukan semata-mata ceramah, tetapi kita terlibat sama untuk golongan luar daripada parti kita, orang muda dan orang biasa.

Senamrobik golongan ini, sama sama kita dapat banci, jadi mereka ini sudah tidak kisah. Jadi apabila penglibatan kita begitu, mereka rasa paling tidak pendekatan kita itu satu perkara baru bagi mereka dan mereka rasa boleh terima walaupun kita dengan pakaian begini, insya-Allah, alhamdulillah. Nampak OK dan positif.

Dengan manifesto PN di peringkat pusat dan negeri yang lebih menjurus kepada usaha membantu rakyat. Jadi apa seruan atau pesanan Cikgu kepada para pengundi, khususnya di Parlimen Temerloh.

Bila kita lihat dalam manifesto negeri bukan sahaja soal air yang ingin dibaiki, sebab saya ingat di Kelantan sahaja masalah air, sebenarnya di Temerloh ini pun masalah air lagi banyak. Khususnya di sebelah Lanchang, apabila kita pergi tempat orang asli, paip ada, tangki ada, air tiada. Pelik. Tangki dah buat lama dah, batang paip ada, air tiada. Jadi ini satu perkara yang pelik bin ajaib.

Jadi kita harap supaya keperluan air sendiri, jadi kita ingin membaiki perkhidmatan ini supaya rakyat dapat menikmati keperluan asas khususnya. Sebab air memang sangat penting, menyusahkan kalau tiada air semua ini, sebab dia pun ada peringkat kerajaan pusat pun ditawarkan untuk membaiki bekalan air. Dalam masa sama untuk peringkat negeri juga untuk membaiki bekalan air juga.

Kedua, saya lihat peringkat negeri, kita lihat dari segi kepentingan mengadakan pusat pengajian tinggi. Temerloh tiada pusat pengajian tinggi, sedangkan bandar Temerloh adalah bandar tumpuan juga. Jadi, insya Allah kita harapkan supaya dapat suara Temerloh ini paling tidak ada satu institusi pengajian tinggi supaya tidak tertumpu di Kuantan sahaja sebab Temerloh juga adalah bandar yang sedang berkembang dan pesat membangun, dan sangat diperlukan pusat pengajian tinggi yang boleh menarik pengunjung ataupun penduduk dari luar.

Jadi saya menyeru kepada semua penduduk Temerloh yang berada di luar sana yang masih kita kata bekerja, pulanglah waktu hari mengundi, untuk menunaikan tanggung jawab anda sebagai warga negara. Pilihlah PERIKATAN NASIONAL, usahakan untuk pilih PERIKATAN NASIONAL kerana kita kata, cukuplah yang lama itu, PN menawarkan Bersih dan Stabil. – HARAKAHDAILY 11/11/2022

- Advertisement -