CALIFORNIA: Sam Bankman-Fried kini tidak lagi bergelar bilionair selepas kehilangan 94 peratus atau AS$14.6 billion (RM69 bilion) daripada jumlah keseluruhan kekayaannya dalam tempoh satu hari.
Menurut laporan Indeks Bloomberg pada Rabu, baki aset kekayaan usahawan dan pelabur Amerika Syarikat yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif FTX, dan pengasas industri pertukaran mata wang kripto itu kini hanya berjumlah AS$991.5 juta.
Ia adalah susulan Ketua Pegawai Eksekutif Binance. Changpeng ‘CZ’ Zhao mengumumkan pada Selasa bahawa beliau telah menandatangani perjanjian sementara untuk memperoleh FTX selepas kebimbangan timbul mengenai ketidakmampuan bayar bursa berasaskan Bahamas, yang membawa kepada kelembapan dalam pengeluaran dan kejatuhan bebas dalam harga token asli FTX, lapor coindesk.com.
Sebelum masalah tunai syarikatnya itu, aset kekayaan Bankman-Fried dianggarkan sebanyak AS$15.2 bilion tetapi, menurut Bloomberg, sebanyak AS$14.6 bilion telah dihapuskan dalam sekelip mata.
Kejayaan pesat kewangan lelaki berusia 30 tahun yang dikenali dengan nama ringkas SBF itusebelum ini, digabungkan dengan sikap yang seumpama budak remaja yang sering merendah diri seperti gemar tidur di atas kerusi ‘pundi kacang’ di pejabatnya, menjadikan beliau salah satu nama popular dalam industri matawang kripto.
Beliau juga pernah membuat kenyataan pada awal tahun ini, mahu mendermakan sebahagian besar kekayaannya yang ketika itu bernilai AS$21 bilion kepada badan-badan amal.
Di samping itu, beliau juga berjanji untuk membelanjakan sehingga AS$1 bilion untuk menyokong calon politik Demokrat – sejajar dengan misi dirinya yang secara lebih meluas untuk bersiap sedia menghadapi pandemik masa depan seumpama yang pernah dicetuskan oleh virus Covid-19. – HARAKAHDAILY 10/11/2022