Pemimpin tidak ambil kesempatan memenangkan kesnya

Nik Muhammad Nasri Nik Malek
- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 56)

IBN Asakir, Said bin Mansur dan Al-Baihaqi mengeluarkan daripada As-Sya’bi, katanya: Berlaku pertelingkahan antara Umar dan Ubai bin Kaab.

- Advertisement -

Umar berkata: Lantik hakim antaraku dan antaramu.

Mereka berdua menjadikan Zaid bin Thabit sebagai hakim.
Umar berkata: ‘Kami datang kepadamu supaya kamu mengadili kami.’

Zaid menjadikan rumahnya untuk memutuskan hukum.

Apabila Umar masuk, Zaid melebarkan hamparannya untuk Umar. Zaid berkata: ‘Di sini wahai Amir al-Mukminin.’

Lalu Umar berkata: ‘Ini kesalahan pertama yang engkau lakukan dalam penghakiman ini. Aku duduk bersama lawanku.’

Kedua-duanya duduk di hadapan Zaid. Ubai mendakwa dan Umar mengingkari dakwaan itu (kerana menurut kaedah
البينة على المدعي و اليمين على من انكر
Saksi, bukti dari pihak pendakwa. Sumpah dari orang yang menidakkan.)

Zaid berkata kepada Ubai: ‘Maafkanlah Amir al-Mukminin dari sumpah. Aku tidak berbuat seperti ini selain darimu.’

Umar bersumpah, kemudian berkata:
لا يدرك زيد القضاء حتى يكون عمر ورجل من عرض المسلمين عنده سواء
Zaid tidak dapat menjatuhkan hukuman dengan baik hingga Umar dan lelaki lain yang memperjuangkan haknya, sama di sisinya.’

(HayatusSahabah, Al-Kandahlawi 2/94)

Beberapa iktibar dari kisah di atas:

1- Umar adalah Sahabat Nabi SAW yang hebat. Ubai bin Kaab juga demikian. Namun, sebagai manusia yang ada sifat kemanusiaan, berlaku juga pertelingkahan dalam beberapa isu berkaitan tanah, tanaman dan lain-lain. Namun yang penting ialah keadilan ditegakkan.

2- Apabila berlaku pertelingkahan, antara tempat penyelesaiannya ialah mahkamah. Hakimnya mesti adil, berlaku adil dan dilihat demikian.

3- Dalam mahkamah, hakim tidak boleh berkata, membuat sesuatu kepada pihak bertelagah yang mungkin boleh dianggap secara tersirat menyebelahi pihak tertentu. Umar al-Khattab sangat sensitif tentang perkara ini walaupun kelihatan ia sangat remeh.

4- Pemimpin yang bertaqwa tidak akan mengambil kesempatan dari kedudukannya untuk memenangkan kesnya di mahkamah, sekalipun dia boleh berbuat demikian. Ia terserah kepada mahkamah yang mesti berlaku adil.

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK, Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 10/11/2022

- Advertisement -