ADUN Kuala Nerang dilantik Exco kerajaan Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria, 58 dilantik secara sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah yang baharu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelantikan itu mendapat perkenaan Tuanku Sultan Kedah dan majlis angkat sumpah diadakan di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, pagi tadi.

- Advertisement -

Oleh itu katanya, semua pihak diharap memberi kerjasama kepadanya untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri serta seluruh jentera pentadbiran mengalu-alukan pelantikan tersebut,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Mohamad Yusoff memegang portfolio Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Pengairan dan Saliran serta Tenaga menggantikan ADUN Sungai Tiang, Dato’ Suraya Yaacob yang meletakkan jawatan Exco 13 Oktober lalu.

Sementara itu Mohamad Yusoff, bekas graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang pengajian bangunan menganggap lantikan itu sebagai amanah berat yang perlu dilaksana dengan sebaik mungkin.

“Pelantikan ini satu amanah amat berat, saya diajar oleh guru saya bahawa jawatan bukan satu penghormatan sebaliknya tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat kelak,” kata beliau.

Bagaimanapun beliau akan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Kedah tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

Oleh itu beliau berharap mendapat kerjasama daripada semua pihak terutama pegawai kerajaan dan rakan sejawat untuk sama-sama membangunkan Kedah. – HARAKAHDAILY 10/11/2022

- Advertisement -