KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang dua digit buat kali pertama dalam tempoh lebih setahun pada Suku Ketiga, dirangsang oleh penggunaan domestik yang kukuh dan eksport yang teguh, menurut tinjauan Reuters, tetapi tinjauan ke hadapan dikaburkan oleh risiko kelembapan global.
Pada September 2022, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak AS$6.7 bilion (RM31.7 bilion), yang terbesar dalam tempoh lebih dua dekad susulan eksport menyaksikan pertumbuhan dua angka yang kukuh sebanyak 30.1 peratus, diterajui oleh pengeksportan lebih tinggi bagi produk elektronik, minyak dan gas dalam keadaan harga yang tinggi.
Tinjauan dari 1 hingga 8 Nov terhadap 22 ahli ekonomi meramalkan ekonomi Malaysia berkembang 11.7 peratus pada suku Julai hingga September berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, yang mana pada suku sebelumnya, ia berkembang sebanyak 8.9 peratus.
Pakar ekonomi Asia di Capitral Economics, Shivaan Tandon berkata, asas perangkaan yang rendah dari Suku Ketiga 2021, ketika ekonomi terkurung, akan menyumbang ke arah bacaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ke tahun yang tinggi untuk Suku Ketiga 2022.
“Pembukaan semula sempadan antarabangsa sepatutnya membantu mengurangkan kekurangan buruh dalam sektor tertentu dan juga memacu pemulihan berterusan dalam sektor pelancongan.
“Bagaimanapun, rangsangan itu mungkin akan diimbangi oleh hambatan dari tempat lain, dengan dasar monetari yang lebih ketat, pekerjaan yang lebih perlahan dan pertumbuhan gaji di samping permintaan luar yang lebih lemah,” jelasnya.
Dalam anggaran belanjawan terbaharunya, lapor Reuters lagi bahawa kerajaan Malaysia menaik taraf unjuran pertumbuhan tahun ini kepada 6.5 peratus-7.0 peratus daripada 5.3 peratus hingga 6.3 peratus, tetapi menjangkakan pertumbuhan untuk 2023 perlahan kepada 4.0 peratus hingga 5.0 peratus.
Aktiviti perdagangan dan ekonomi juga berkemungkinan terjejas oleh langkah pembendungan Covid-19 yang ketat China dan kelembapan pertumbuhan global.
Tinjauan Reuters yang berasingan pula menunjukkan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan mencapai purata 7.2 peratus tahun ini dan kemudian jatuh kepada 4.2 peratus pada 2023.
Hasil dapatan tinjauan itu juga mendapati Ringgit Malaysia berprestasi rendah tahun ini, menjejaskan inflasi, walaupun bank pusat terus menaikkan kadar faedah untuk mengurus tekanan harga secara ‘secara awalan’, walaupun dalam kenaikan 25 mata asas, di tengah-tengah pengukuhan dolar Amerika Syarikat.
“Mata wang itu berkemungkinan kekal di bawah tekanan menurun sehingga kadar hasil bon AS memuncak dan peserta pasaran kekal mengelak risiko di tengah-tengah tahap ketidaktentuan ekonomi global yang meningkat,” tambah Tandon. – HARAKAHDAILY 9/11/2022