KUALA LUMPUR: Tiada kelulusan boleh diberikan terhadap mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara, demikian tegas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Nak saya nak tegaskan saya tak pernah meluluskan sebarang peruntukan mana-mana projek setelah Parlimen dibubarkan. Dan saya nak tegaskan tidak ada mana-mana pihak yang mari jumpa saya minta lulus RM2 bilion, bukan sikit,” ujarnya.
Timbalan Presiden PAS itu menjawab tuduhan fitnah Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kononnya Menteri KASA itu meluluskan RM2 bilion dalam tempoh kerajaan sementara ketika ini.
Malah, beliau yang juga calon PERIKATAN NASIONAL (PN) P.024 Kubang Kerian, Kelantan dan N.04 Cheka, Pahang menggesa sekiranya Rafizi memiliki bukti agar membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Turut dijawab beliau adalah satu tuduhan mengenai projek di Krubong, Melaka di mana telah melalui proses tender sebagaimana prosedur kewangan dan tidak mempunyai sebarang isu dalam perkara itu.
“Dan saya tegaskan bahawa saya tak pernah campur tangan dalam sebarang tender di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air. Bukan macam zaman PH (Pakatan Harapan memerintah)
“Bagi saya urusan Jawatankuasa Tender, (biar mereka) urus. Saya tak nak terlibat. Dan saya tak pernah tanya pun saya punya Ketua Setiausaha (KASA mengenai hal itu). Ikut prosedur, ikut peraturan, siapa yang layak, siapa yang dapat, proceed,” jelasnya ketika ceramah di Bilik Operasi PN DUN Cheka Taman Cahaya, semalam.
Terang beliau, apabila Parlimen dibubarkan semua projek tidak boleh diberi kelulusan peruntukan kewangan sebagaimana notis dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara memperingatkan semua pihak.
“Ni notis yang biasa, pertama, tidak boleh bagi apa-apa komitmen kewangan. Yang kedua tak boleh janji projek melibatkan kewangan bagi tanggungan kerajaan akan datang.
“Yang ketiga tak boleh buat mana-mana dasar tak boleh lulus mana-mana polisi, mana-mana dasar dalam tempoh kerajaan peralihan atau caretaker government,” ujarnya mengingatkan Rafizi bahawa beliau mengetahui peraturan itu.
Tambah Ustaz Tuan Ibrahim, apabila Parlimen dibubarkan, beliau hanya terlibat tiga program KASA, iaitu pertama menghadiri sambutan Hari Alam Sekitar Negara di Kuantan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong.
Kedua beritahunya, menghadiri dan merasmikan Karnival Kementerian Alam Sekitar dan Air di Kubang Kerian, dan ketiga, menghadiri majlis meraikan kakitangan kementerian yang berpencen atau bertukar ke kementerian lain.
“Tiga program yang saya hadir. Dan tidak ada sebarang tandatangan mana-mana surat yang luluskan mana-mana projek. Saya minta saya punya peguam untuk tengok dari sudut aspek undang-undang.
“Tapi dia (Rafizi) berselindung di sebalik (kata) ‘saya difahamkan’, ‘saya dimaklumkan’, ‘ada pihak yang beritahu’, ini kalimah-kalimah dari segi perundangan yang tak boleh diambil tindakan undang-undang.
“Tapi mungkin ada aspek-aspek lain yang kita kena tengok. Tapi saya nak tegaskan bahawa fitnah ini tak betul sebab itu saya minta supaya kalau ada kes ada bukti, reportlah. Jangan buat fitnah musim ini. Ya.
“Mungkin dia tak sebut secara direct. Cuma dia kata ada pihak-pihak tertentu cuba desak Menteri untuk lulus. Pihak mana? Kalau ada pihak nak suruh desak, tak pernah jumpa pun saya desak.
“Dan prosesnya tuan-tuan sekalian projek itu belum lulus. Mana boleh kita luluskan? Prosesnya panjang,” jelas beliau membidas Rafizi. – HARAKAHDAILY 8/11/2022