PERIKATAN NASIONAL jamin bayar royalti petroleum Kelantan

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan akan menerima royalti minyak sebanyak 5 peratus daripada hasil pengeluaran minyak sekiranya PERIKATAN NASIONAL (PN) diberi mandat penuh rakyat untuk menerajui negara 19 November ini.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu berdasarkan akujanji yang dibuat Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Perkara itu sudah diumumkan Tan Sri Muhyiddin sebelum ini sekiranya diberi mandat penuh oleh rakyat. Pengerusi PN sebut kita akan pastikan isu royalti kepada Kelantan diselesaikan segera.

“Sebenarnya saya sendiri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed terbabit dalam perbincangan di peringkat Persekutuan dan Petronas.

“Rundingan itu masih berjalan dan disebabkan tempoh kita menjadi kerajaan tidak lama, kita tidak sempat memuktamadkan perkara itu,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.

Beliau juga berkata, berdasarkan perjanjian, Kelantan atau mana-mana negeri yang mempunyai telaga minyak dan gas berhak mendapat 5 peratus dan 5 peratus lagi dibayar Petronas kepada Kerajaan Pusat.

Oleh itu katanya rakyat Kelantan akan mendapat haknya yang diperjuangkan sejak sekian lama dengan memberi sokongan padu kepada PN pada 19 November ini.

“Kita yakin perairan Kelantan mempunyai telaga minyak dan sepatutnya berhak mendapat royalti. Jika kita menjadi kerajaan, insya-Allah ia dapat diselesaikan,” katanya yang mempertahankan kerusi Parlimen Kota Bharu pada PRU15. – HARAKAHDAILY 8/11/2022