Kekalkan Awang Hashim, kenang jasa Muhyiddin – Sanusi

- Advertisement -

PENDANG: Rakyat Malaysia yang bakal turun mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov ini diseru agar mengenang jasa dan pengorbanan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini Presiden PERIKATAN NASIONAL (PN) pusat; dan mengekalkan Dato’ Awang Hashim dari PAS sebagai calon PN di kerusi Parlimen Pendang, Kedah.

- Advertisement -

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pengundi Parlimen Pendang dinasihatkan mengekalkan Dato’ Awang Hashim sebagai ahli parlimen terbabit, susulan khidmat yang terbaik diberikan sebelum ini.

“Malahan, calon PN Parlimen Pendang itu merupakan anak jati kawasan berkenaan dan sangat dekat dengan masyarakat setempat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Pelancaran PN BEST, Tawaran Untuk PRU15, Peringkat Negeri Kedah pada Isnin. 

“Pengundi Pendang sekali lagi mesti undi calon PN dari PAS, Dato’ Awang Hashim. Beliau anak jati sini (Pendang).

“(Beliau) Dekat dengan kita (penduduk kampung di Pendang), mudah untuk membela nasib kita,” tegas beliau.

Program yang diadakan di Pendang Convention Centre itu turut dihadiri  Muhyiddin dan Awang, serta Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman.

Menurut Sanusi, rakyat juga wajar membuka mata kepada kecemerlangan negara ketika dipimpin oleh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selama 17 bulan. 

Ketika itu tegasnya, negara menghadapi kesukaran menghadapi pandemik Covid-19 namun pentadbiran Malaysia berjalan dengan baik.

“Mesyuarat online (atas talian) setiap hari pada ketika ini dilaksanakan bagi membincangkan bagaimana untuk menangani masalah ketika Covid tengah kemuncak,” ujarnya.

Belanja RM600 bilion

Mengulas lanjut Sanusi berkata, negara telah membelanjakan kira-kira RM600 bilion untuk menghadapi wabak berkenaan termasuk kos suntikan vaksinasi secara percuma diberikan kepada rakyat. 

Presiden PN Pusat itu (Muhyiddin) dipecat dari Umno kerana memperjuangkan kes 1MDB, justeru ketika beliau menjadi Perdana Menteri, tiada kes kes rasuah atau salah guna wang kerajaan muncul ketika itu,” katanya.

Dalam masa yang sama, ujar beliau, rakyat juga perlu menilai pengorbanan bekas Perdana Menteri itu yang sanggup bawa keluar ahli-ahli parlimen Bersatu dari Pakatan Harapan (PH) dan membentuk kerajaan bersama. 

“Beliau (Muhyiddin) melakukan pengorbanan yang besar kepada kita. Tindakan yang beliau lakukan itu untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada dipandu PH bawa masuk ke gaung,” 

“Justeru dengan slogan Bersih, Prihatin, PN akan memandu rakyat dan negara ke arah pentadbiran bersih serta berkebajikan,” tegasnya.

Kerusi DUN BN

Dalam perkembangan lain, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah sekali lagi memaklumkan, rahsia kestabilan negeri itu adalah kerana kerusi BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedikit. 

“BN ada dua kerusi (DUN) sahaja. Sampai hari ini ‘depa’ tak boleh buat apa. Lain seperti di Perak, Johor dan Melaka yang berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) dan bertukar Menteri Besar.

“Oleh itu pastikan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini,  PN ‘sapu bersih’ semua kerusi DUN. Kalau nak bagi dekat BN pun, sedikit cukuplah,” ujarnya lagi. 

Seperkara lagi, menurut Sanusi, sebelum ini tidak pernah berlaku tokoh-tokoh atau pemimpin utama BN dinafikan hak bertanding. 

“Tidak hairanlah berlaku ‘kekacauan’, berselerak habis. Mereka (BN) ini sebenarnya nak bela rakyat atau perut sendiri?” soal beliau. 

Berikutan itu, kata beliau, manifesto yang ditawarkan PN adalah menyeluruh dan amat baik berdasarkan pengalaman ketika menerajui negara dalam  saat kesukaran menghadapi wabak  pandemik Covid-19 yang tidak pernah berlaku sebelum itu. – HARAKAHDAILY 8/11/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!