SHAH ALAM: PERIKATAN NASIONAL menawarkan satu juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi sekiranya dipilih sebagai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peluang itu tidak mustahil untuk diwujudkan berdasarkan pengalaman Kerajaan PERIKATAN NASIONAL mewujudkan peluang pekerjaan semasa pandemik Covid-19.
“Kita ada pengalaman, semasa saya menjadi Perdana Menteri saya mempengerusikan Majlis Pekerjaan Negara. Berapa lama saya jadi Perdana Menteri? Tidak lama.
“Kita tetapkan sasaran untuk mewujudkan sejumlah 500,000 peluang pekerjaan baharu untuk tahun 2021. Alhamdulillah, pada akhir tahun 2021, sebanyak 558,000 peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan, iaitu melebihi daripada sasaran asal.
“Saya percaya jika PERIKATAN NASIONAL diberikan mandat, kita boleh buat dan kita akan buat dengan cara lebih baik lagi,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Manifiesto Tawaran PERIKATAN NASIONAL Best, di Hotel Glenmarie, di sini, malam ini.
Calon PERIKATAN NASIONAL Parlimen Pagoh itu juga menjamin untuk menyelamatkan pekerjaan sedia ada rakyat Malaysia.
Katanya, semasa pandemik Covid-19 melanda negara, ramai rakyat hilang pekerjaan, dan perkara itu tidak dibiarkan berlaku oleh Kerajaan PERIKATAN NASIONAL ketika itu.
“Jadi kerajaan PERIKATAN NASIONAL pada waktu itu menyediakan dana berjumlah RM20.29 bilion ringgit dalam bentuk subsidi upah.
“Dana ini disalurkan kepada majikan supaya mereka dapat terus membayar gaji pekerja dan mengekalkan pekerja walaupun perniagaan mereka terpaksa ditutup,” katanya.
Menurut Muhyiddin, dengan inisiatif berkenaan, kerajaan PERIKATAN NASIONAL berjaya menyelamatkan 163,000 syarikat dan 3 juta pekerjaan rakyat Malaysia.
“Bayangkan 3 juta pekerja ini hilang pekerjaan? Apa jadi kepada mereka dan keluara mereka? Bolehkah mereka sara hidup keluarga jika hilang pendapatan? Jawapannya tentu sekali sukar ataupun tidak boleh.
“Jadi dengan inisatif subsidi upah yang dilaksanakan kerajaan PERIKATAN NASIONAL ketika itu, ratusan ribu syarikat mendapat mafaat, jutaan pekerjaan telah diselematkan dan jutaan keluarga ada makanan di atas meja mereka,” katanya . – HARAKAHDAILY 6/11/2022