TELUK INTAN: PAS adalah sebuah parti yang sentiasa menyeru kepada kebaikan dan terbukti memiliki integriti tinggi serta dilihat ikhlas memperjuangkan pembelaan hak rakyat dan kepentingan negara.
Calon PERIKATAN NASIONAL N.55 DUN Pasir Bedamar, Suria Nayaranan memperakui demikian menyifatkan faktor beliau dan kaum bukan-Melayu tertarik untuk bersama dengan parti Islam itu.
Beliau yang juga Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Negeri Perak telah diberi kepercayaan oleh PAS untuk bertanding di kerusi tersebut dengan sokongan padu Jentera PAS Kawasan Teluk Intan.
“Saya lihat tak ada parti sebaik PAS yang tak ada rasuah, ahlinya sentiasa berdisiplin patuh kepada parti,” ujar beliau kagum dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan serta tadbir urus baik ditunjukkan PAS.
Beliau turut menyatakan keazamannya untuk menyampai mesej PN pada PRU15 kali ini yang membawa slogan Bersih dan Stabil atau BEST kepada pengundi di DUN Pasir Bedamar khasnya dan Parlimen Teluk Intan amnya.
“Saya mahu menyampaikan mesej ‘Bersih dan Stabil’ dibawa PN kepada pengundi-pengundi di Teluk Intan. Ia telah terbukti sepanjang PN memerintah walaupun masa pandemik COVID-19, pentadbiran Kerajaan PN berjalan baik.
“Saya akan bekerja keras bersama Jentera PN bagi memastikan rakyat mengundi PN,” ujarnya melafaz janji dan kesungguhan bagi memastikan kejayaan PN. – HARAKAHDAILY 5/11/2022